Kerajaan lancar ambulans udara, jimat kos RM15 juta setahun

Menteri Pembangunan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming dan Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa bergambar di helikopter EMARS pada Majlis Pelancaran Perkhidmatan Khas Ambulan Udara (EMARS) di pekarangan AEON Mall Shah Alam pada Sabtu. Foto SINAR HARIAN / MOHD HALIM ABDUL WAHID.
Menteri Pembangunan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming dan Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa bergambar di helikopter EMARS pada Majlis Pelancaran Perkhidmatan Khas Ambulan Udara (EMARS) di pekarangan AEON Mall Shah Alam pada Sabtu. Foto SINAR HARIAN / MOHD HALIM ABDUL WAHID.
A
A
A

SHAH ALAM - Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) melancarkan helikopter ambulans pertama di negara ini yang dinamakan Emergency Medical Air Rescue Services (EMARS) pada Sabtu.

Menterinya, Nga Kor Ming berkata, perkhidmatan ambulans udara itu bagi memenuhi keperluan perkhidmatan kecemasan terutama di kawasan pedalaman dan perkampungan orang Asli yang sukar diakses menerusi jalan darat.

"Ini kali pertama dalam sejarah apabila KPKT menerusi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dengan kerjasama bersama Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menyediakan perkhidmatan tersebut bagi melancarkan operasi pemindahan dan penyelamatan mangsa memerlukan rawatan perubatan segera.

"Selain ia dapat digunakan untuk membawa doktor, pegawai perubatan, peralatan dan bekalan perubatan perkhidmatan EMARS dengan cepat, cekap dan efektif bagi operasi pemindahan dan penyelamatan mangsa malah turut melibatkan operasi penyelamatan kemalangan di lebuh raya dan bencana," katanya.

Menteri Pembangunan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming (enam dari kanan) dan Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa (tujuh dari kanan) bergambar di helikopter EMARS pada Majlis Pelancaran Perkhidmatan Khas Ambulan Udara (EMARS) di pekarangan AEON Mall Shah Alam pada Sabtu. Foto SINAR HARIAN / MOHD HALIM ABDUL WAHID.
Menteri Pembangunan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming (enam dari kanan) dan Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa (tujuh dari kanan) bergambar di helikopter EMARS pada Majlis Pelancaran Perkhidmatan Khas Ambulan Udara (EMARS) di pekarangan AEON Mall Shah Alam pada Sabtu. Foto SINAR HARIAN / MOHD HALIM ABDUL WAHID.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada sidang media selepas Majlis Pelancaran EMARS di sini pada Sabtu.

Menurut Kor Ming, dari segi pelaksanaan, perkhidmatan ambulans udara tersebut menggunakan pesawat bomba sedia ada yang diubah suai dan dilengkapkan dengan peralatan perubatan kecemasan.

Tambah beliau, buat masa ini perkhidmatan EMARS meliputi di Semenanjung dahulu namun akan diperluaskan ke Sabah dan Sarawak sekiranya mempunyai peruntukan lebih.

"Jika kewangan tambah baik dapat peroleh lagi helikopter supaya perkhidmatan itu dapat digunakan seluruh negara.

"Setakat ini kita ada enam juruterbang sentiasa bersiap sedia (menyelamat) dan harap dapat perluaskan pasukan ini pada tahun hadapan," ujarnya.

Dalam pada itu, Kor Ming berkata, perkhidmatan tersebut bukan sahaja mampu memberikan impak tinggi terhadap mutu perkhidmatan malah juga dapat membuat penjimatan sebanyak RM15 juta setahun.

Ujarnya, ketika ini KKM terpaksa mengupah khidmat pakar dalam bidang swasta termasuk 'flying doctor' di kawasan pedalaman.

"Setiap tahun anggaran perbelanjaan RM20 juta tapi sekarang dengan adanya khidmat EMRS, kita cuma belanja RM5 juta setahun sekali gus menunjukkan komitmen kerajaan bukan sahaja jaga kebajikan rakyat tapi pastikan perbaiki kedudukan kewangan negara," ujarnya.

Sementara itu, Kor Ming berkata, hanya 20 peratus daripada keseluruhan keanggotaan bomba dari seluruh negara mendapat cuti raya.

Menurutnya, manakala 80 peratus anggota lain bergilir-gilir bertugas mengikut syif di 334 buah balai bomba seluruh Malaysia.

"Sikap bomba yang sentiasa profesional ini sudah tentu memberi keyakinan rakyat Malaysia bahawa keselamatan dan kesejahteraan mereka sentiasa dalam perhatian," jelasnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!