'Gelombang hijau' PN bertambah kuat

Bakri
Bakri
A
A
A

MELAKA - Perikatan Nasional (PN) Melaka menafikan 'gelombang hijau' di enam buah negeri yang bakal berdepan Pilihan Raya Negeri (PRN) semakin lemah.

Ketua Penerangan PN negeri yang juga Ahli Parlimen Tangga Batu, Bakri Jamaluddin berkata, hakikatnya sokongan yang diterima semakin bertambah, bukan sahaja dalam kalangan pengundi saluran empat, lima dan enam malah saluran satu dan dua mula menunjukkan sokongan positif.

Menurutnya, biarpun beberapa pemimpin PN terpalit dengan kes mahkamah, namun dilihat tidak mengurangkan atau memberi kesan kepada semangat gelombang hijau, kerana rakyat pada hari ini mahukan masalah mereka diselesaikan dan bukannya isu lama 'dikorek' dan dijaja.

"Saya lihat gelombang ini makin lama makin kuat dan tak pernah padam, bertambah kuat.

"Saya percaya rakyat tidak mudah terpengaruh dengan isu-isu mahkamah yang dilaporkan, mereka lebih berpengetahuan terutama anak-anak muda yang menggunakan media sosial," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan sumbangan raya kepada penerima kurang bernasib baik dalam Parlimen Tangga Batu di Bukit Rambai di sini, pada Sabtu.

Beliau yang juga Timbalan Pesuruhjaya Pas Melaka berkata, paling penting dan utama, rakyat mahukan masalah mereka termasuk kos sara hidup tinggi diselesaikan dan mempunyai solusi yang bernas, bukan disajikan dengan dakwaan yang tidak berasas.

Ujar beliau, meskipun belum menerima peruntukan dari kerajaan pusat, namun demi kebajikan rakyat beliau sanggup menggunakan elaun Ahli Parlimen untuk membantu rakyat memerlukan.

"Sebenarnya banyak lagi rakyat dalam parlimen ini mahu kita bantu, namun dengan kekangan kewangan menyukarkan untuk kita membantu dengan lebih meluas.

"Harap kerajaan pusat dapat pemudah cara agar wakil rakyat PN juga tidak dipinggirkan untuk menerima bajet, seterusnya disalurkan dan diagihkan kepada rakyat," katanya lagi.

Dalam perkembangan lain, beliau memaklumkan telah membuat satu laporan polis di Balai Polis Sungai Udang pada Ahad lalu susulan aplikasi WhatsApp menggunakan nombor telefon beliau telah 'digodam' scammer.

"Setakat ini lima individu merupakan kenalan saya telah memasukkan wang dianggarkan lebih RM2,000 hingga RM3,000 ke dalam akaun scammer terbabit," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!