PRN: Wanita UMNO tiada masalah bekerjasama dengan Wanita PH
GEORGETOWN - Jentera Wanita UMNO tidak mempunyai masalah dan sentiasa bersedia bekerjasama dengan jentera Wanita Pakatan Harapan (PH) bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri nanti.
Naib Ketua Wanita UMNO, Datuk Norliza Abdul Rahim berkata, pihaknya telah bersedia untuk turun ke akar umbi bersama-sama jentera Wanita PH bagi meraih undi dan memberi maklumat berhubung Kerajaan Perpaduan di Kedah, Pulau Pinang, Selangor, Negeri Sembilan, Kelantan dan Terengganu.
"Wanita UMNO akan belajar dan didik ahli-ahli kita untuk bekerjasama di bawah Kerajaan Perpaduan sekarang ini, mungkin pada mulanya agak kekok tapi saya rasa lama-kelamaan kita boleh adaptasi perkara ini, jadi ia tidak mustahil dan Wanita UMNO juga telah diberi pendedahan awal kenapa perlu bergabung.
"Pemimpin Wanita PKR juga telah hubungi saya dan ada beberapa perjumpaan kita sebelum ini dan kami akan gerak ke akar umbi secara bersama..tak ada masalah untuk kita bekerja bersama untuk PRN,” katanya kepada pemberita selepas Program Seindah Syawal Parlimen Bukit Gelugor di sini pada Sabtu.
Menerusi program itu, Norliza yang juga Ketua Wanita UMNO Bahagian Bukit Gelugor menyampaikan sumbangan RM200 kepada setiap penerima melibatkan lebih 60 anak-anak yatim dan asnaf dari Parlimen Bukit Gelugor untuk perbelanjaan kelengkapan sambutan Hari Raya.
Pada PRU15 lalu Kedah, Pulau Pinang, Selangor, Negeri Sembilan, Kelantan dan Terengganu tidak membubarkan DUN namun media sebelum ini melaporkan pemimpin enam negeri itu mencapai kata sepakat bahawa masa paling sesuai pembubaran DUN masing-masing adalah dalam dua minggu terakhir Jun.
Sementara itu, Norliza berharap calon-calon wanita diberikan lebih peluang untuk bertanding di kerusi-kerusi DUN yang selamat pada PRN nanti.
''Dari dahulu kita perjuangkan 30 peratus kerusi untuk wanita dan kalau boleh kita nak kerusi (DUN) yang kita dapat ini, biarlah kerusi yang senang dimenangi, kita tidak mahu bila calon wanita sahaja diberi kerusi hitam (sukar menang).
''Kami mahu kerusi yang boleh dimenangi, kerana wanita ini dari segi gerak kerja memang kita menjadi nadi, seharusnya wanita diberi tempat yang sesuai,'' katanya. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!