Chelsea intai sentuhan jurulatih kelab Portugal
CHELSEA beralih arah memandang ke Portugal dalam misi The Blues mencari penganti Graham Potter yang dipecat dari Stamford Bridge.
Sasaran The Blues ialah jurulatih Sporting Lisbon, Ruben Amorim yang cemerlang dalam saingan Liga Europa.
Pengurusan Chelsea dilaporkan sudah mengadakan perbincangan dengan pengendali berusia 38 tahun itu.
Selain Amorim, pemilik bersama Todd Boehly juga sudah mengadakan pertemuan dengan bekas pengurus Sepanyol, Luis Enrique, selain Julien Nagelsmann dan Marco Silva turut berada dalam pertimbangan.
Legenda Chelsea, Frank Lampard yang menggalas tugas sebagai pengurus
sementara sehingga akhir musim ini juga dilihat cuba menarik perhatian selain tidak menolak peluang untuk memegang jawatan panas itu buat kali kedua.
Terbaharu, Amorim pula berada dalam radar ketika pengendali dari Portugal itu mempunyai rekod cemerlang.
Dia membantu Sporting meraih gelaran pertama mereka dalam tempoh 19 tahun pada 2021 selain menjuarai Piala Liga Portugal sebanyak tiga kali - dua bersama Sporting dan bakinya bersama bekas kelab, Braga.
Aksi pasukan bimbingan Amorim dalam kancah liga domestik kurang memberangsangkan apabila menghuni tangga keempat Liga Portugal.
Ketinggalan 14 mata di belakang pendahulu Benfica - namun baru-baru ini, Sporting mengejutkan pendahulu Liga Perdana Inggeris, Arsenal dalam saingan Liga Europa.
Sporting mengikat Gunners 2-2 di Lisbon sebelum bangkit daripada ketinggalan untuk mencatatkan keputusan 1-1 di Emirates dan memenanginya menerusi penentuan sepakan penalti.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!