MB Selangor umum pelarasan 3 IPR

Amirudin berkata demikian pada sidang media sempena Jelajah Maju Bersama Menteri Besar Selangor di Daerah Kuala Selangor di Dewan Raja Lumu Pejabat Agama Islam Daerah Kuala Selangor.
Amirudin berkata demikian pada sidang media sempena Jelajah Maju Bersama Menteri Besar Selangor di Daerah Kuala Selangor di Dewan Raja Lumu Pejabat Agama Islam Daerah Kuala Selangor.
A
A
A

KUALA SELANGOR - Kerajaan Selangor menghentikan pemberian sumbangan khairat kematian RM2,500 sejajar dengan pelaksanaan pelarasan Skim Mesra Usia Emas (SMUE) bermula 30 April ini.

Bagaimanapun, warga emas yang berdaftar di bawah skim ini akan diraikan dengan program Jom Shopping dengan pemberian baucar RM100 setiap tahun.

Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari menjelaskan, pelarasan itu bertepatan dengan aspirasi kerajaan negeri untuk menjaga kebajikan golongan usia emas.

"Kerajaan negeri berhasrat meneruskan pemberian baucar Jom Shopping setiap tahun kepada lebih 200,000 warga emas supaya mereka menikmati manfaat ini ketika masih hidup.

"Sejajar dengan pelarasan semula ini, tiada lagi sebarang pembayaran wang khairat kematian kepada waris atau ahli keluarga bagi warga emas yang meninggal dunia selepas 30 April ini.

"Tempoh tuntutan khairat kematian hendaklah dibuat selewat-lewatnya sebelum 31 Mei ini," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media sempena Jelajah Maju Bersama Menteri Besar Selangor di Daerah Kuala Selangor di Dewan Raja Lumu Pejabat Agama Islam Daerah Kuala Selangor.

Amirudin berkata, manfaat baucar Jom Shopping ini akan diberikan kepada warga emas berdaftar SMUE sempena musim perayaan, bermula Oktober tahun ini.

Artikel Berkaitan:

"Baucar Jom Shopping ini akan membantu golongan warga emas dalam membeli barang keperluan asas sebagai kelengkapan menjelang musim perayaan.

"Sehingga kini, sebanyak RM256 juta dibelanjakan melibatkan seramai 103,320 warga emas yang meninggal dunia bagi pembayaran khairat kematian kepada waris sejak skim diperkenalkan pada 1 Oktober 2008 lalu," katanya.

Dalam sidang media sama, Amirudin turut mengumumkan kerajaan negeri akan menghentikan sementara program Kasih Ibu Smart Selangor (KISS) dan Skim Peduli Sihat (SPS).

"Program KISS akan dihentikan sebulan bermula 1Jun ini manakala bagi SPS pada 1Mei ini bagi mengemaskini senarai nama penerima yang benar-benar layak.

"Langkah ini diambil sejajar dengan pelaksanaan pemurnian dan mengemaskini senarai penerima bantuan KISS dan SPS di negeri ini.

"Kelayakan mereka dinilai berdasarkan proses pengesahan melalui semakan silang dengan senarai penerima Bantuan Sara Hidup (BSH) atau Sistem eKasih.

"Pelarasan ini dilaksanakan dengan kerjasama Unit Penyelarasan dan Pelaksanaan (ICU) Jabatan Perdana Menteri (JPM) dan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN)," katanya.

Jelasnya, sepanjang proses pengemaskinian SPS bermula 1 Mei nanti, semua operasi rawatan di panel klinik akan diberhentikan bagi membantu melancarkan urusan.

"Sehingga kini, sebanyak 390,524 kad Peduli Sihat dikeluarkan bagi memberi manfaat rawatan asas kepada rakyat Selangor.

"Penerima KISS atau SPS sedia ada yang belum mendaftarkan diri bagi BSH mahupun eKasih, adalah dinasihatkan untuk berbuat demikian dengan segera," katanya.

Pendaftaran untuk kedua program itu boleh dibuat dengan mengisi lengkap borang eKasih yang boleh didapati di pusat khidmat masyarakat (PKM) seluruh Selangor atau secara atas talian di laman web Bantuan Sara Hidup (http://bsh.hasil.gov.my)

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!