Teruja pilih sendiri baju raya
KOTA BHARU - Pelajar Pondok As Shakirin Kampung Dalam Huma, Pasir Puteh teruja dapat memilih sendiri pakaian baharu sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri kali ini.
Lebih menggembirakan lagi apabila kesemua 30 pelajar itu turut mendapat set lengkap seperti kasut, kopiah, kain sarung, jam tangan dan sebagainya yang disumbangkan oleh Kelab Media Kelantan Darul Naim (Kemudi).
Seorang penerima, Muhammad Afiq Azman mengakui jarang menikmati suasana sedemikian.
"Sebelum ini saya hanya pakai sahaja pakaian yang disediakan oleh ibu bapa.
"Kami tidak berpeluang untuk ke pasar raya atau kedai kerana bapa hanya bekerja kampung," katanya.
Seorang lagi penerima, Muhammad Amin Faqihuddin Johar menyifatkan peluang memilih sendiri pakaian itu amat dinanti-nantikan olehnya.
Ujarnya, sudah beberapa tahun dia tidak menjejakkan kaki ke pasar raya.
"Alhamdulillah, terima kasih kepada penyumbang.Kami rasa sangat dihargai," katanya ketika ditemui di Pasar Raya Mydin Tunjong di sini pada Sabtu.
Program khidmat masyarakat tersebut dihadiri oleh Presiden Kemudi, Majidah Ismail dan wakil penyumbang,Raja Rusmin Raja Mahmud.
Sementara itu Mudir Pondok As Shakirin Kampung Dalam Huma, Johar Che Harun memberitahu, pihaknya cukup berbesar hati dengan sumbangan tersebut.
"Program sebegini sangat bermakna buat pelajar kerana mereka dari keluarga kurang berkemampuan.
"Sumbangan yang diterima dapat meringankan beban keluarga," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!