Abdul Rahman kesal sikap segelintir 'kutu sampah'
SHAH ALAM - Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad menegur sikap tidak bertanggungjawab segelintir pengguna di laluan Kechau Tui, Lipis, Pahang yang membuang sampah merata-rata selepas berhenti rehat di kawasan berkenaan.
Berkongsi pemandangan 'buruk' kawasan yang dipenuhi sampah itu, Abdul Rahman turut mengakui keadaan itu tidak sepatutnya berlaku, apatah lagi pada bulan Ramadan.
"Saya faham ramai pengguna jalan raya nak pulang ke Pantai Timur menggunakan laluan ini.
"Ada yang nak berehat sebab perjalanan jauh. Namun inilah pemandangan yang dapat saya lihat tiap tahun. Ini gambar terbaru yang diambil.
"Ini ke sikap yang kita pupuk dalam diri anak-anak kita? Jaga kebersihan ni bermula daripada diri kita, didikan ibu bapa dan bermula dari rumah," katanya menerusi hantaran di Facebook pada Sabtu.
Jelas Ahli Parlimen Lipis itu lagi, menjaga kebersihan di tempat awam sepatutnya menjadi tanggungjawab bersama.
"Saya sedikit terkilan kerana takkan tiada sedikit pun rasa tanggungjawab untuk menjaga kebersihan setelah ALLAH SWT dan bagi rezeki untuk kita makan, tempat untuk beristirahat," katanya.
Sementara itu, dalam hantaran sama, beliau turut menzahirkan ucapan terima kasih kepada pasukan Jabatan Kerja Raya Daerah Lipis kerana melakukan kerja pembersihan di laluan tersebut.
"Insya-Allah besar ganjaran pahala. Lebih dari itu, setiap kebaikan yang kita lakukan walau sekecil-kecil perkara akan mendapat ganjaran di sisi ALLAH SWT," ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!