Penghantaran pulang anak panda Yi Yi, Sheng Yi ditangguhkan
KUALA LUMPUR - Penghantaran pulang anak panda, Yi Yi dan Sheng Yi ke China yang dijadualkan pada bulan depan ditangguhkan, kata Timbalan Pengarah Zoo Negara, Rosly@Rahmat Ahmat Lana.
Beliau berkata, keputusan tersebut dibuat oleh Kerajaan China kerana kes Covid-19 di negara itu dilaporkan meningkat dan ketika ini masih belum ada tarikh rasmi untuk penghantaran pulang kedua-dua anak panda berkenaan.
"Tahun ini sudah dua, tiga kali ditangguhkan kerana situasi Covid-19 di China, namun kedua-dua anak panda ini tetap akan dibawa balik...mungkin penghujung tahun ini atau awal tahun depan, bergantung dengan keputusan Kerajaan China,” katanya selepas ditemui pemberita pada majlis iftar bersama media dan penaja di sini, pada Sabtu.
Media sebelum ini melaporkan Yi Yi dan Sheng Yi yang ditempatkan di Pusat Konservasi Panda Gergasi, Zoo Negara akan dihantar terus ke Chengdu pada pertengahan Mei ini selepas ia tertangguh beberapa kali.
Yi Yi dan Sheng Yi merupakan anak kepada pasangan Panda Gergasi, Fu Wa dan Feng Yi yang dipinjamkan kepada Kerajaan Malaysia pada 2014 untuk tempoh 10 tahun, sempena ulang tahun ke-40 terjalinnya hubungan diplomatik Malaysia dan China.
Program pinjaman di bawah Perjanjian Kerjasama Pemuliharaan Panda Gergasi Antarabangsa itu, membolehkan Malaysia berpeluang menjalankan penyelidikan mengenai pemuliharaan Panda Gergasi, selain membangun dan melatih kepakaran tempatan.
Sehingga kini, pasangan panda berkenaan yang dinamakan semula sebagai Xing Xing dan Liang Liang, melahirkan tiga ekor anak panda, iaitu Nuan Nuan yang dilahirkan 18 Ogos 2015, Yi Yi (14 Januari 2018) dan Sheng Yi pada 30 Mei 2021.
Nuan Nuan telah dihantar pulang ke China pada 2017.
Rosly@Rahmat berkata, ketika ini Yi Yi yang berusia lima tahun dan Sheng Yi yang bakal berusia dua tahun masing-masing mempunyai berat di bawah 50 kilogram.
Mengenai program perjanjian yang bakal berakhir melibatkan Fu Wa dan Feng Yi pada tahun depan, beliau berkata, perkara itu sedang dibincangkan dengan Kerajaan China dengan syarat-syarat baharu.
"Dalam kontrak kita 10 tambah 10, jadi sekarang kerajaan kita sedang berunding untuk sambung kontrak itu mungkin tidak sampai 10 tahun lagi,” katanya. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!