Pertempuran meletus di Sudan
KHARTOUM (Sudan) - [KEMAS KINI] Pertempuran meletus antara Angkatan Tentera Sudan dan pasukan separa tentera Rapid Support Forces (RSF) di ibu negara Khartoum.
Tembakan dan bom kedengaran berhampiran ibu pejabat tentera dan istana presiden, menurut seorang wartawan Agensi Anadolu di Khartoum.
Dalam satu kenyataan, RSF menuduh tentera menyerang pasukannya di selatan Khartoum dan menyifatkan tindakan itu sebagai "serangan kejam".
RSF mendakwa tenteranya sudah menguasai lapangan terbang Khartoum, istana presiden, kediaman ketua tentera dan markas tentera Merowe di utara Sudan, namun dinafikan Angkatan Tentera Sudan.
Komander RSF Mohamed Hamdan Dagalo atau lebih dikenali sebagai Hemedti mendakwa tenteranya telah menawan lapangan terbang Khartoum dan istana presiden.
Bercakap kepada televisyen Al Jazeera yang berpangkalan di Doha, Hemedti menyifatkan ketua tentera Jeneral Abdel Fattah al-Burhan sebagai seorang penjenayah dan melakukan rasuah dan berikrar untuk menamatkan perang ini dalam beberapa hari akan datang.
Hemedti ialah timbalan al-Burhan dalam kerajaan peralihan atau Transitional Sovereign Council yang kini memerintah Sudan.
Tentera Sudan menuduh pejuang RSF cuba menyerang pasukannya di selatan Khartoum dan menyebarkan pembohongan mengenai serangan itu semata-mata untuk menutup pemberontakan mereka.
Pasukan separa tentera diisytiharkan sebagai kumpulan "pemberontak”.
Menurut saksi kejadian, Tentera Sudan melakukan serangan udara ke atas pangkalan RSF di ibu negara Khartoum.
Pesawat perang tentera menyerang markas RSF di kejiranan Riyahd dan Bahri timur dan utara Khartoum.
Pertikaian antara kedua-dua pihak meletus pada Khamis selepas pihak tentera mendakwa aktiviti RSF menyalahi undang-undang.
Sudan tidak mempunyai kerajaan yang berfungsi sejak Oktober 2021 apabila tentera memecat kerajaan peralihan pimpinan Perdana Menteri Abdalla Hamdok dan mengisytiharkan darurat.
Disember lalu, tentera dan kuasa politik Sudan menandatangani perjanjian rangka kerja untuk menyelesaikan krisis selama berbulan-bulan.
Penandatanganan perjanjian akhir itu dijadualkan berlangsung pada 6 April,tetapi ditangguhkan. Tiada tarikh baharu diumumkan untuk menandatangani perjanjian itu.
Tempoh kerajaan peralihan yang bermula pada Ogos 2019 dijadualkan berakhir dengan pilihan raya pada awal 2024.
Dalam pada itu, EgyptAir dan Saudia Airline pada Sabtu mengumumkan menangguhkan penerbangan ke Sudan atas faktor keselamatan susulan pertempuran yang meletus di Khartoum.
Syarikat penerbangan Mesir itu memaklumkan bahawa penerbangan keluar masuk dari Lapangan Terbang Antarabangsa Khartoum akan dihentikan selama 72 jam, lapor Agensi Berita Xinhua, memetik kenyataan EgyptAir.
Sementara itu, menurut syarikat penerbangan Saudia Airline, semua penerbangan keluar masuk digantung sehingga diberitahu kelak, lapor Al Arabiya TV.
Keputusan itu dibuat selepas satu daripada pesawat Saudia Airline mengalami kemalangan di lapangan terbang Khartoum, menurut laporan itu.
Bunyi tembakan kedengaran di Khartoum ketika pertempuran meletus antara Angkatan Tentera Sudan dan pasukan separa tentera Rapid Support Forces (RSF).
Dalam satu kenyataan RSF mendakwa pihaknya sudah menawan beberapa lokasi strategik di ibu negara termasuk lapangan terbang. - Bernama-Anadolu
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!