Steinbruckner tuntut peledak import kekalkan penyudah tajam

Mamut (tengah) meraikan jaringan pada aksi pusingan 16 Piala FA di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin pada Jumaat. - Foto Bernama
Mamut (tengah) meraikan jaringan pada aksi pusingan 16 Piala FA di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin pada Jumaat. - Foto Bernama
A
A
A

KETAJAMAN penyudah Ivan Mamut dan Jordan Mintah ketika membantu naib juara tahun lalu, Terengganu FC (TFC) menang besar 4-0 ke atas Melaka FC dalam aksi pusingan 16 Piala FA di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin Gong Badak, mendapat pujian pengendali TFC, Tomislav Steinbruckner.

Malah Steinbruckner menuntut kedua-dua penyudah import skuad Penyu itu mengekalkan tahap konsisten dalam saingan Liga Super.

"Ya, apabila Ivan dan Jordan mula kerap menghasilkan jaringan secara tidak langsung meningkatkan keyakinan pasukan seperti dipamerkan dalam perlawanan ini.

"Sememangnya pasukan amat mengharapkan Ivan dan Jordan untuk lebih banyak lagi menjaringkan gol buat pasukan selepas ini," katanya selepas perlawanan tersebut.

TFC yang berstatus pilihan sebelum itu menjinakkan kelab Liga M3, Melaka FC, bermula jaringan Mamut pada minit kelima bagi mendahului babak pertama 1-0.

Tiga lagi gol skuad Penyu dijelmakan pada babak kedua oleh Hakimi Abdullah (m-70) sebelum Mintah (m-82, m-93) melabuh tirai pesta gol 4-0 tuan rumah.

Mengulas mengenai cabaran Melaka FC, Steinbruckner mengakui pasukan pelawat bukan lawan yang mudah apabila berdepan kesukaran menambah jaringan selepas mendahului satu gol.

"Biarpun kami mendominasi permainan, namun pasukan lawan bijak bertahan dan selain beberapa percubaan turut mengancam benteng TFC.

"Namun pertukaran pemain dan taktikal pada separuh masa kedua menyaksikan pasukan berjaya menambah tiga lagi jaringan.

"Saya berpuas hati dengan kemenangan positif, namun diakui menentang Melaka FC kelab Divisyen Tiga, pemain nampak bergelut untuk menambah jaringan pada babak pertama selepas gol Ivan," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!