Bersaing jual mercun, bunga api

Saiful (kanan) turut berniaga bunga api dan mercun di luar Kompleks PKNS Shah Alam.
Saiful (kanan) turut berniaga bunga api dan mercun di luar Kompleks PKNS Shah Alam.
A
A
A

SHAH ALAM - Jumlah penjual mercun dan bunga api meningkat pada tahun ini, malah suasananya seperti mahu ‘berperang’ susulan penjualannya dibenarkan kerajaan dengan syarat.

Tinjauan Sinar Ahad di luar Kompleks PKNS Shah Alam di sini mendapati kira-kira lima peniaga bunga api dan mercun yang mempunyai permit menjalankan perniagaan mereka.

Seorang peniaga, Shahfiz Ibrahim, 34, berkata, walaupun jualan nampak meriah namun hasilnya tidak lumayan seperti mana kebiasaan pada tahun sebelum ini.

“Orang ramai mungkin berjimat cermat menyebabkan jualan tidak semeriah tahun-tahun sebelum ini ditambah pula dengan kehadiran peniaga mercun dan bunga api yang semakin ramai pada kali ini,” katanya.

Seorang lagi peniaga, Saiful Izwan, 30, berkata, berniaga bunga api dan mercun memerlukan modal agak tinggi namun permintaan orang ramai setakat ini pada tahap kurang memuaskan.

“Kami memiliki permit untuk menjual 35 jenis bunga api dan 10 jenis mercun namun walaupun barangan banyak sambutannya masih kurang dengan tinggal seminggu sahaja lagi sebelum Aidilfitri,” jelasnya.

Mohd Amirullah yakin dapat menghabiskan stok barangan yang dijual walaupun persaingan sengit.
Mohd Amirullah yakin dapat menghabiskan stok barangan yang dijual walaupun persaingan sengit.



Seorang lagi peniaga bunga api dan mercun, Mohd Amirullah Badrul Hisyam, 28, berkata, pada perayaan kali ini dia melihat terlalu banyak persaingan dalam kalangan peniaga namun yakin dapat menghabiskan stok barangan yang dijual.

“Kita harap begitulah sebab sudah tinggal seminggu sahaja lagi sebelum sambutan Aidilfitri.

“Kalau stok barang ini (bunga api dan mercun) semua habis dijual pun sudah cukup bagus bagi kami,” ujarnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!