Kaji semula mekanisme bayaran pinjaman AIM
JELI - Mekanisme bayaran balik pinjaman Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) perlu dikaji semula supaya lebih praktikal dan tidak membebankan peminjam.
Wakil peniaga, Hilman Muhammad, 41, berkata, AIM memainkan peranannya dengan baik sebelum ini dan amat tidak wajar jika ia dibubarkan.
"Hanya kaji balik cara bayaran yang sebelum ini dibuat secara mingguan kerana ia dilihat kurang praktikal dalam keadaan ekonomi tidak menentu ketika ini," katanya kepada Sinar Harian.
Dia yang juga salah seorang peminjam dan sudah menggunakan khidmat AIM sejak lima tahun lalu mengakui jadual bayaran balik secara mingguan itu begitu menekan golongan peminjam sepertinya.
Katanya, AIM juga boleh melihat kembali kadar bayaran yang lebih fleksibel agar tidak terus membebankan peminjam.
"AIM memberi pinjaman bermula dari RM3,000 dengan bayaran balik sebanyak RM72 seminggu dalam tempoh setahun, dan dengan jumlah modal sebanyak itu pada hakikatnya tak cukup untuk memulakan perniagaan disebabkan kos bahan mentah dan peralatan melebihi kadar pinjaman yang diberikan.
"Malah bayaran balik secara mingguan menyebabkan peminjam tidak mampu melakukan pusingan modal, tambahan pula dalam situasi ekonomi yang agak lembap selain kuasa beli rakyat semakin menurun serta kenaikan harga barangan," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!