Seludup dadah ke Australia: Laporan lengkap siap dua minggu
PASIR PUTEH - Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) akan menyiapkan laporan lengkap dan terperinci berhubung rampasan 336 kilogram (kg) heroin dianggarkan bernilai RM789.56 juta dalam sebuah kontena penghantaran dari Malaysia ke Brisbane, Australia pada 13 Mac lepas dalam tempoh dua minggu lagi.
Timbalan Ketua Pengarah (Penguatkuasaan dan Pematuhan) JKDM, Datuk Sazali Mohamad berkata, siasatan lanjut masih dijalankan dan pihaknya tidak dapat mendedahkan sebarang maklumat berhubung perkara tersebut.
"Selewat-lewatnya dalam tempoh dua minggu laporan itu akan siap sebagaimana yang diminta oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
"Kami juga sentiasa berhubung dengan pegawai JKDM yang berada di kedutaan Australia bagi membantu melengkapkan siasatan," katanya semasa sidang akhbar pada Sabtu.
Sebelum itu beliau menghadiri majlis berbuka puasa bersama pegawai-pegawai Operasi Khas Bersepadu (Operasi Badai dan Operasi Makmur II) di Tok Bali di sini.
Pada Jumaat, media tempatan melaporkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu laporan itu dibentangkan kepadanya dalam tempoh dua minggu bertujuan mengetahui bagaimana dan punca kejadian itu berlaku, yang disifatkannya sebagai mengaibkan negara.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!