Tiket balik raya: Jangan dera rakyat Sabah - Bung Moktar

Bung Moktar berkongsi tangkap layar harga tiket penerbangan bagi laluan domestik Kota Kinabalu ke Tawau yang dilihat melambung tinggi.
Bung Moktar berkongsi tangkap layar harga tiket penerbangan bagi laluan domestik Kota Kinabalu ke Tawau yang dilihat melambung tinggi.
A
A
A

KOTA KINABALU - Ahli Parlimen Kinabatangan, Datuk Seri Bung Moktar Radin meminta semua syarikat penerbangan yang menyediakan perkhidmatan supaya tidak terlalu mengaut keuntungan semata-mata dengan menaikkan harga tiket tambang penerbangan di negeri ini.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lamag mendapati harga tiket penerbangan menjelang perayaan Aidilfitri melonjak naik terutama bagi laluan domestik.

"Dalam bulan Ramadan tahun ini, lonjakan harga tiket penerbangan domestik amat tidak masuk akal, bayangkan tiket AirAsia bagi laluan sehala Sandakan ke Kota Kinabalu adalah RM700.

"Tiga hari lalu saya ada menghubungi Menteri Pengangkutan dan meminta tambahan penerbangan antara Sandakan dan Kota Kinabalu, menteri beritahu bahawa syarikat penerbangan bersetuju untuk menambah penerbangan pada 18, 19 dan 20 April ini," katanya dalam hantaran di Facebook pada Ahad.

Tambah beliau, ketika ini rakyat Sabah yang berada di Semenanjung hendak balik ke kampung halaman masing-masing, namun harga tiket penerbangan yang melambung naik akan membebankan mereka.

"Malangnya harga tiket terlalu mahal dan tidak boleh diterima oleh otak yang waras. Beribu ringgit, laluan sehala sahaja ada yang RM3,000. Saya meminta Menteri Pengangkutan bicaralah dengan pihak syarikat penerbangan janganlah menghisap darah rakyat.

"Rakyat Sabah bukannya semua berkemampuan, mereka hanya sekadar nak balik beraya dan berjumpa sanak saudara setahun sekali.

"Kita difahamkan mulai Mei akan datang syarikat penerbangan Firefly pula yang akan beroperasi di laluan domestik Sabah. Siapa pun syarikat penerbangan yang melakukan operasi tolong jangan terlalu mengaut keuntungan, jangan dera rakyat Sabah," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!