Sensasi Shereen pecah rekod kebangsaan
ATLET wanita negara, Shereen Samson Vallabouy mencipta sensasi di Amerika Syarikat apabila memecahkan rekod 400 meter (m) kebangsaan berusia 30 tahun pada Ahad.
Pelari berusia 25 tahun itu melakar catatan 51.80 saat (s) pada Kejohanan Olahraga Tahunan Mt SAC Relays di California.
Catatan itu sekali gus memperbaharui rekod milik Allahyarhamah Rabia Abdul Salam yang mencatat 52.56s ketika melakukannya pada tahun 1993 di Filipina.
Menerusi catatan terbaharu pelajar Winona State University, Minnesota itu menyaksikan dia menamatkan saingan di tempat kelima pada kejohanan di Stadium Hilmer Lodge itu.
Juara dalam acara itu ialah pelari Texas A&M University, Jermaisha Arnold dengan catatan 50.79s diikuti rakan sepasukannya, Tierra Robinson-Jones kedua (51.01s).
Atlet University of South Carolina, Jan'Taijah Jones ketiga (51.0s) dan Ziyah Holman dari University of Michigan keempat (51.60s).
Shereen sebelum ini empat kali meleburkan rekod kebangsaan 400m dalam dewan dengan catatan 52.27s.
Catatan itu dilakukan ketika dia memenangi pingat emas di Kejohanan Trek dan Balapan Dalam Dewan Divisyen II Persatuan Olahraga Kolej Kebangsaan (NCAA) di Virginia Beach, Virginia, bulan lalu.
Kejayaan Shereen yang juga anak bekas atlet kebangsaan, Josephine Mary Singarayar itu meletakkan dia di laluan terbaik dalam misi memburu emas 400m di Sukan SEA Kemboja, Mei ini.
Pada Sukan SEA Hanoi tahun lepas, emas dimenangi pelari Vietnam, Nguyen Thi Huyen menerusi catatan 52.83s.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!