25 terbunuh, 183 cedera akibat konflik di Sudan
Tembakan dan serangan bom dilapor kedengaran berhampiran ibu pejabat tentera dan istana presiden. - Foto Xinhua
A
A
A
Jawatankuasa Perubatan Sudan memaklumkan 183 lagi mangsa turut cedera di Khartoum dan bandar-bandar lain.
Tembakan dan serangan bom dilapor kedengaran berhampiran ibu pejabat tentera dan istana presiden, lapor Agensi Anadolu.
Dalam satu kenyataan, RSF menuduh tentera menyerang pasukannya di selatan Khartoum sambil menggelar tindakan itu sebagai "serangan kejam".
Komander RSF Mohamed Hamdan Dagalo, lebih dikenali sebagai Hemedti mendakwa bahawa pasukannya telah menguasai lapangan terbang Khartoum, istana presiden, kediaman ketua tentera dan pangkalan tentera Merowe di utara Sudan.
Sementara itu, pasukan tentera menuduh RSF cuba menyerang anggotanya di selatan Khartoum.
"RSF menyebarkan pembohongan tentang tentera kami menyerang pasukannya untuk menutup pemberontakan yang mereka lakukan," menurut kenyataan tentera.
Pertikaian antara tentera dan SRF tercetus pada Khamis apabila tentera berkata pergerakan RSF baru-baru ini disifatkan tiada penyelarasan dan menyalahi undang-undang.
Sudan tidak mempunyai kerajaan yang berfungsi sejak Oktober 2021 apabila tentera memecat Perdana Menteri Abdalla Hamdok yang mengetuai kerajaan sementara dan mengisytiharkan darurat.
Disember lalu, tentera dan kuasa politik Sudan menandatangani perjanjian untuk menyelesaikan krisis yang berlanjutan sejak berbulan-bulan.
Pemeteraian perjanjian dijadualkan berlangsung pada 6 April, tetapi ditangguhkan.
Tiada tarikh baharu diumumkan untuk menandatangani perjanjian itu. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!