Kenapa saya tidak dipanggil, soal Hannah
KUALA LUMPUR - Ahli Parlimen Segambut, Hannah Yeoh mempersoalkan tindakan Kementerian Wilayah Persekutuan, Yayasan Wilayah Persekutuan (YWP) dan pihak pemaju kerana tidak melibatkan beliau dengan isu projek pembangunan Taman Rimba Kiara.
Hannah berkata, beliau terkejut apabila tidak dipanggil hadir pada lawatan tapak sebelum cadangan pengecilan skala projek dibuat baru-baru ini.
"Saya Ahli Parlimen kawasan itu... kenapa saya tidak dilibatkan? Projek pembangunan Taman Rimba Kiara (dah jadi) isu kontroversi, tapi saya tidak dipanggil, begitu juga dengan penduduk Taman Tun Dr Ismail (TTDI) yang membantah projek itu.
"Saya tak tahu apa motif tidak memanggil saya menyertai lawatan tapak itu. Saya yang ketika itu berada di Dewan Negara terkejut apabila hanya mengetahui perkara itu melalui WhatsApps," katanya yang ditemui pada Majlis Pelancaran BukuDrive anjuran UEM Sunrise di Publika hari ini.
Hannah berkata, beliau tidak menghalang penduduk rumah panjang TTDI mendapatkan rumah, namun pembangunan semula penempatan baharu itu mesti dijalankan di tapak sedia ada.
"Kami tidak pernah membantah penduduk rumah panjang untuk mendapat perumahan baharu, malah kami sangat mengalu-alukan, tetapi kita tidak mahu perumahan baharu itu dibina melangkau masuk ke Taman Rimba Kiara.
"Jika nak bina... bina di tapak sedia ada kerana kita mahu memelihara kawasan hijau, pengecilan projek tidak memadai jika ia hanya mengurangkan ketinggian blok bangunan sebaliknya kita tak mahu kawasan hijau diusik," katanya.
ARTIKEL BERKAITAN: Saya bukan nak berbalah dengan Khalid, kata Hannah Yeoh
ARTIKEL BERKAITAN: Kabinet tentukan status projek Taman Rimba Kiara
Projek pembangunan Taman Rimba Kiara mencetuskan kontroversi sejak 2017 dan mendapat bantahan penduduk TTDI yang mendakwa projek berkenaan bakal menghapuskan kehijauan alam semula jadi di kawasan itu.
Projek pembangunan itu dilakukan di atas tanah seluas 4.9 hektar Taman Rimba Kiara yang melibatkan pembinaan satu blok 350 unit rumah mampu milik untuk komuniti rumah panjang Bukit Kiara, dan lapan blok kondominium mewah 50 tingkat.
Pemaju bersetuju mengurangkan saiz dan jumlah blok pangsapuri dengan keluasan projek itu dikecilkan daripada 4.9 hektar kepada 3.2 hektar seperti diumumkan Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abd Samad, Isnin lalu.
Antara pembangunan yang akan diteruskan, empat blok kondominium serta satu blok rumah mampu milik yang akan diserahkan kepada 100 penduduk rumah panjang.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!