Pekerja sambilan didakwa hantar komunikasi lucah
ALOR SETAR - Seorang pekerja sambilan di sebuah agensi kerajaan dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Alor Setar pada Ahad atas satu pertuduhan menghantar komunikasi lucah dengan niat menyakitkan hati orang lain melalui aplikasi WhatsApp pada 2021.
Muhammad Zakir Ramli, 29, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan kepadanya di hadapan Hakim Jean Sharmila Jesudason.
Difahamkan tertuduh telah menghantar komunikasi lucah kepada seorang wanita yang juga berusia 29 tahun.
Mengikut pertuduhan, dia didakwa secara sedar memulakan penghantaran komunikasi iaitu gambar lucah menerusi aplikasi WhatsApp kepada seorang individu dengan niat menyakiti hati antara jam 7.30 pagi pada 20 Mei 2021 hingga jam 3.02 pagi pada 28 Mei 2021.
Kes dituduh mengikut Seksyen 233 (1) (a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) dan sabit kesalahan boleh dihukum di bawah Seksyen 233(3) Akta sama yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara tidak lebih setahun atau kedua-duanya sekali.
Sementara itu, Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia Nazrul Nizam Mohd Zameri memohon mahkamah mengenakan jaminan sebanyak RM1,000 dengan seorang penjamin ke atas tertuduh.
Muhammad Zakir tidak diwakili peguam kemudiannya merayu kepada mahkamah agar jumlah jaminan yang lebih rendah diberikan kerana dia hanya bekerja sambilan dengan pendapatan sekitar RM1,400 sebulan dan perlu menyara isteri serta seorang anak berusia setahun.
Tertuduh dibenarkan diikat jamin sebanyak RM800 dengan seorang penjamin dan mahkamah menetapkan 22 Mei ini sebagai tarikh serahan dokumen dan lantikan peguam.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!