'Apa yang Selangor buat semua menjadi' - Fandi Ahmad

Pemain Sri Pahang FC Mohd Azrif Nasrulhaq Badrul Hisham (kiri) diasak oleh pemain Selangor FC Yazan Mousa Mahmoud Abu Al-Arab (kanan). - Foto Bernama
Pemain Sri Pahang FC Mohd Azrif Nasrulhaq Badrul Hisham (kiri) diasak oleh pemain Selangor FC Yazan Mousa Mahmoud Abu Al-Arab (kanan). - Foto Bernama
A
A
A

SRI Pahang FC nyata tidak mampu menandingi kualiti yang dipamerkan Selangor FC sebelum tunduk menyerah 0-4 dalam pusingan 16 Piala Piala FA di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya, Kelana Jaya pada Sabtu.

Perkara itu diakui pengendali Sri Pahang FC, Fandi Ahmad yang menyifatkan Selangor wajar meraih kemenangan besar itu selepas setiap gerakan dan taktikal yang direncanakan Gergasi Merah sepanjang perlawanan sentiasa menjadi.

"Sudah pasti Selangor main lebih baik dan mempunyai standard yang lebih tinggi. Apa-apa yang mereka buat menjadi dan kita berdepan kesulitian.

"Memang separuh masa pertama kita nak bertahan dahulu, tetapi lima minit terakhir separuh masa pertama ada kesilapan sedikit menyebabkan kita bolos.

"Selepas itu, kita terpaksa bermain dengan corak terbuka untuk mencari gol dan apabila bermain dengan corak sebegitu kita menerima padah," katanya.

Kekalahan itu menyaksikan mereka gagal mara ke pusingan suku akhir Piala FA, malah lebih menambah duka apabila rekod tanpa tewas lebur.

Tonggak muda tengah sensasi Selangor FC, Muhammad Mukhairi Ajmal Mahadi tampil garang dengan meledak dua gol selain Faisal Halim dan Brendan Gan turut mengukir nama selaku penjaring.

Dalam pada itu, Fandi turut mengakui ketiadaan pemain di bahagian tengah merencatkan corak serangan pasukan Pantai Timur itu.

"Ini bukan alasan, tetapi buat sementara ini kita memang sedang menurun sebab kita kekurangan pemain tengah. Macam tadi ada penyerang yang terpaksa dibawa masuk untuk bermain di bahagian tengah," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!