Jauhkan vape, nikotin daripada kanak-kanak - CAP

Trend ibu bapa menggunakan vape di dalam rumah dan kereta amat membimbangkan. Gambar kecil: Subbarow
Trend ibu bapa menggunakan vape di dalam rumah dan kereta amat membimbangkan. Gambar kecil: Subbarow
A
A
A

GEORGETOWN - Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menggesa rakyat Malaysia agar membebaskan kanak-kanak daripada nikotin dan sesiapa juga yang menggunakan vape atau peranti e-rokok di sekeliling mereka.

Pegawai Pendidikan, N V Subbarow berkata, penggunaan e-rokok adalah tidak selamat untuk kanak-kanak, remaja dan belia kerana kebanyakannya mengandungi nikotin.

Menurutnya, nikotin boleh membawa kepada ketagihan, malah boleh membahayakan perkembangan otak remaja yang berterusan dari peringkat awal sehingga pertengahan 20-an.

"E-rokok juga boleh mengandungi bahan berbahaya lain selain daripada nikotin.

"Golongan kanak-kanak dan remaja ini terdedah untuk menjadi ketagih kepada nikotin di dalam peranti vape dan e-rokok, malah perisanya juga mungkin menjadikan vape lebih menarik bagi mereka.

"Bukan bahan perisa itu sahaja, malah mungkin mempunyai bahaya yang lebih meluas kepada orang ramai," katanya menerusi kenyataan di sini pada Ahad.

Mengulas lanjut, Subbarow berkata, antara perkara yang menarik perhatian kanak-kanak mengenai vape ialah disebabkan perisanya.

Beliau berkata, terdapat bukti bahawa kanak-kanak menyukai perisa seperti gula-gula getah, buah-buahan dan gula-gula, malah mereka suka mencuba perisa yang baharu.

“Bagi kebanyakan orang muda, sebab utama mereka menghisap vape atau menggunakan e-rokok adalah kerana mereka menyukai perisanya yang mengandungi nikotin itu.

“Majoriti ibu bapa menggunakan e-rokok di dalam rumah dan kereta, trend ini yang amat membimbangkan," katanya lagi.

Subbarow berkata, walaupun lebih banyak kajian mungkin diperlukan, nikotin memang boleh membahayakan otak remaja yang sedang berkembang.

Tegasnya, menggunakan nikotin pada masa remaja juga boleh membahayakan bahagian otak yang mengawal perhatian, pembelajaran, mood dan kawalan impuls.

Tambahnya, menggunakan nikotin pada masa remaja juga boleh meningkatkan risiko ketagihan pada masa hadapan terhadap ubat-ubatan lain.

"Produk nikotin menimbulkan risiko kesihatan yang serius bagi kanak-kanak. Belia dan kanak-kanak perlu mengelakkan penggunaan semua produk yang mengandungi nikotin, termasuk e-rokok," katanya.