Jualan Bazar Aidilfitri di Terengganu sehingga 29 Ramadan
KUALA TERENGGANU - Aktiviti perniagaan melibatkan kelengkapan perayaan yang dijalankan di Bazar Aidilfitri di seluruh Terengganu hanya dibenarkan beroperasi sehingga 29 Ramadan.
Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar Terengganu, Datuk Dr Alias Razak berkata, ia bagi memberi laluan kepada kerja-kerja pembersihan dijalankan sebelum menjelang Hari Raya Aidilfitri.
"Kerajaan negeri telah memutuskan untuk tidak membenarkan Bazar Aidilfitri beroperasi pada malam 1 Syawal disebabkan beberapa faktor terutama melibatkan isu kebersihan.
"Selain memberi laluan kepada kerja-kerja pembersihan, ia juga untuk memberi ruang kepada seramai 2,224 pekerja pembersihan di seluruh negeri untuk turut membuat persediaan menyambut kedatangan Syawal," katanya kepada pemberita dalam sidang akhbar di sini, pada Ahad.
Bagaimanapun, Alias berkata, tarikh itu bergantung juga kepada cerapan anak bulan.
"Jika pengumuman rasmi tarikh Hari Raya Aidilfitri dibuat oleh Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja mendapati cerapan anak bulan pada 29 Ramadan disahkan tidak kelihatan, dan pengumuman Hari Raya dibuat pada Sabtu (22 April), waktu operasi Bazar Aidilfitri dibenarkan sehingga Khamis (20 April).
"Namun, sekiranya pengumuman rasmi Aidilfitri mendapati cerapan anagk bulan tidak kelihatan dan pengumuman Hari Raya dibuat pada Jumaat (21 April), waktu operasi bazar Ramadan tetap dibenarkan sehingga Khamis (20 April).
"Pengoperasian itu dibenarkan sehingga jam 12 tengah malam selaras dengan keputusan kerajaan negeri, " katanya.
Sementara itu, katanya pengurusan sisa pepejal sempena Hari Raya Aidilfitri akan dilakukan sebanyak tiga pusingan iaitu waktu pagi, kutipan di kawasan hot spot dan pada waktu malam.
"Kita telah mengarahkan kontraktor menyediakan jentera tambahan seperti lori terbuka atau jengkaut (backhoe), untuk kutipan sisa pukal disekitar tong sampah.
"Sebanyak 15 tong RORO akan disediakan di kawasan hot spot bagi mengawal longgokan sampah.
"Kita juga menubuhkan 'taskforce' bagi memantau dan menyediakan laporan kutipan di setiap sub zon bagi memastikan kerja-kerja pembersihan berjalan lancar," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!