Penganggur mengamuk bakar kedai sebab cinta ditolak

Pasukan bomba menjalankan operasi memadam kebakaran kedai telefon bimbit akibat dibakar suspek di Langkap pada Sabtu. - Foto Ihsan Pembaca
Pasukan bomba menjalankan operasi memadam kebakaran kedai telefon bimbit akibat dibakar suspek di Langkap pada Sabtu. - Foto Ihsan Pembaca
A
A
A

TELUK INTAN - Bengang kerana cinta ditolak, seorang lelaki bertindak membakar kedai telefon bimbit di Jalan Besar, Langkap di sini pada Sabtu.

Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Ahmad Adnan Basri berkata, suspek berusia 54 tahun yang dalam keadaan mabuk bertindak membakar tempat kerja wanita yang dipikatnya itu.

"Suspek beberapa bulan kebelakangan ini sering datang ke kedai dalam keadaan mabuk cuba memikat wanita berusia 46 tahun itu.

"Wanita terbabit menolak dengan cara baik kerana telah berkahwin dan mempunyai tiga orang anak," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Ahad.

Menurut beliau, ketika kejadian suspek yang juga seorang penganggur mengamuk hingga mencederakan mangsa serta melemparkan kata-kata lucah.

"Mangsa membuat laporan polis kerana takut dengan ancaman mangsa yang mengugut mahu membakar dirinya dan kedai tersebut.

"Semasa membuat laporan, kedai yang dimiliki adik mangsa dilaporkan terbakar. Pihak bomba berjaya memadam kebakaran tersebut dan kerugian dianggarkan bernilai RM100,000," katanya.

Ahmad Adnan berkata, suspek berjaya ditahan polis di tempat kejadian.

"Menurut saksi, suspek datang dengan menyimbah minyak petrol lalu membakar kedai tersebut. Semasa tangkapan, suspek mengalami melecur di muka, tangan dan kaki.

"Suspek dipercayai di bawah pengaruh alkohol telah dimasukkan ke Hospital Teluk Intan untuk menerima rawatan," katanya.

Jelas beliau, suspek direman selama lima hari untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 435 Kanun Keseksaan kerana khianat dengan api dan Seksyen 323 Kanun sama iaitu mencederakan mangsa.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!