Malaysia gesa Sudan, RSF berunding selesaikan konflik

Serangan berhampiran pangkalan RSF di selatan Khartoum pada waktu pagi dengan cepat merebak ke kawasan lain di ibu negara, termasuk Lapangan Terbang Antarabangsa Khartoum. Foto - AFP
Serangan berhampiran pangkalan RSF di selatan Khartoum pada waktu pagi dengan cepat merebak ke kawasan lain di ibu negara, termasuk Lapangan Terbang Antarabangsa Khartoum. Foto - AFP
A
A
A

SHAH ALAM - Malaysia menggesa tentera Sudan dan Rapid Support Forces (RSF) mengadakan sesi dialog dan rundingan bagi menyelesaikan konflik yang menggugat keselamatan rakyat di negara itu.

Menurut Kementerian Luar (Wisma Putra) dalam satu kenyataan pada Ahad, kedua-dua pihak harus menyelesaikan sebarang perbezaan secara aman dan mengelakkan tindakan yang boleh memburukkan lagi ketegangan dalam negara.

“Dialog dan rundingan yang bermakna adalah satu-satunya jalan untuk memulihkan keamanan dan kestabilan di Sudan.

“Malaysia mengutuk sekeras-kerasnya permusuhan yang berterusan antara Angkatan Tentera Sudan dan RSF yang telah menyebabkan kesukaran besar buat rakyat dan banyak mengorbankan nyawa yang tidak berdosa.

“Mengambil semangat bulan Ramadan yang mulia, Malaysia menyeru kedua-dua belah pihak untuk segera menghentikan permusuhan dan menahan diri sepenuhnya, mencerminkan prinsip keamanan dan belas kasihan dalam Islam," katanya.

Sinar Harian sebelum ini melaporkan, konflik yang meletus antara tentera Sudan dan RSF berlanjutan hingga Sabtu malam di ibu negara Khartoum, mencetuskan kebimbangan terhadap konflik yang lebih meruncing di negara itu.

Serangan berhampiran pangkalan RSF di selatan Khartoum pada waktu pagi dengan cepat merebak ke kawasan lain di ibu negara, termasuk Lapangan Terbang Antarabangsa Khartoum.

Kementerian Luar dalam kenyataan sama menegaskan, Malaysia turut menggesa semua pihak untuk mengutamakan keselamatan orang awam dan bekerjasama ke arah mewujudkan persekitaran yang aman dan stabil di mana semua rakyat Sudan boleh berkembang maju dan makmur.

Ujarnya, Malaysia kekal dalam solidariti dengan rakyat negara itu dan akan terus menyokong usaha ke arah penyelesaian yang berkekalan dan aman.

"Kami berdoa untuk kesejahteraan dan keselamatan rakyat Sudan dalam masa yang mencabar ini," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!