Pemandu lori diberkas, bakar mercun tengah lebuh raya

Tular satu video memaparkan seorang lelaki bertindak membakar mercun dipercayai di Lebuhraya Lingkaran Tengah 2.
Tular satu video memaparkan seorang lelaki bertindak membakar mercun dipercayai di Lebuhraya Lingkaran Tengah 2.
A
A
A

AMPANG JAYA - Padah membakar mercun di Lebuhraya Lingkaran Tengah 2 (MRR2), seorang pemandu lori diberkas setelah aksinya itu dikesan tular menerusi media sosial pada Sabtu.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak berkata, suspek berumur 35 tahun itu diberkas kira-kira jam 10 malam oleh sepasukan anggota polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah(IPD) Ampang Jaya.

"Suspek dipercayai membakar mercun jenis cake (138) kerana diminta oleh pelanggan premis milik rakannya.

"Aksi suspek itu dirakam sebelum dimuat naik menerusi Facebook dan menjadi tular serta kemudiannya dikesan oleh pihak polis," katanya.

Beliau berkata, suspek tidak mempunyai sebarang rekod jenayah manakala ujian air kencing didapati negatif.

"Suspek direman empat hari di bawah Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah.

"Kes disiasat bawah Seksyen 6 Akta Bahan Letupan 1957," katanya.

Pada Jumaat, tular satu video memaparkan seorang lelaki bertindak membakar mercun dipercayai di lebuh raya.

Tindakan individu tersebut kemudian menimbulkan kecaman netizen yang rata-rata menyifatkan tindakan itu tidak bertanggungjawab selain membahayakan keselamatan pengguna lebuh raya berkenaan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!