Kesiapsiagaan jentera AMK hadapi PRN capai 60 peratus

Adam Adli - Foto Bernama
Adam Adli - Foto Bernama
A
A
A

BUKIT MERTAJAM - Angkatan Muda Keadilan (AMK) telah menggerakkan jentera bagi membantu kempen dalam menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) di Kelantan, Terengganu, Kedah, Selangor, Negeri Sembilan dan Pulau Pinang dengan tahap kesiapsiagaan mencapai lebih 60 peratus.

Ketua AMK, Adam Adli Abdul Halim berkata, pihaknya juga bersedia dan tiada masalah untuk bekerjasama dengan sayap pemuda daripada parti komponen Barisan Nasional (BN) seperti UMNO, MCA dan MIC.

"Sebenarnya AMK telah memulakan kerja-kerja untuk PRN ini sejak dua bulan lepas lagi malah mesyuarat peringkat AMK melibatkan kenam-enam negeri juga telah dijalankan... Kita telah turun ke negeri-negeri terlibat sebelum puasa lagi untuk selesaikan pengurusan AMK.

"Dalam mesyuarat itu, kita telah kenal pasti keperluan untuk PRN dan sekarang adalah masa untuk kami isi dan jalankan perkara-perkara yang dikenal pasti tersebut," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Pejabat AMK negeri dan melancarkan Jentera AMK Pulau Pinang bagi PRN di sini malam Ahad.

Timbalan Menteri Belia dan Sukan itu berkata, pihaknya menyasarkan sejumlah 30 peratus calon adalah dalam kalangan AMK untuk PRN di keenam-enam negeri namun mereka perlu bersedia serta boleh menang.

"Bukan soal berapa ramai calon namun mereka itu boleh sumbang kerusi... macam PRU15 (Pilihan Raya Umum ke-15) lepas, calon AMK untuk Parlimen enam orang dan empat menang. Sebab itu saya kata kita tidak desak pucuk pimpinan untuk dapatkan kerusi bertanding.

"Dalam AMK ini tidak timbul isu boikot dan sebagainya... kalau kita tak dapat jadi calon, jentera kita sentiasa sokong siapa jua calon... namun setakat ini, kita belum bincang lagi berkenaan calon-calon," katanya.

Menyentuh kerjasama dengan sayap Pemuda parti lain di bawah Kerajaan Perpaduan, Adam Adli berkata, perkara itu memang perlu dilakukan dan sedang dibincang.

"Malah di peringkat Pemuda Pakatan Harapan sekalipun, kita memang ada engagement (perjanjian kerjasama berterusan). Begitu juga dengan UMNO, MIC dan MCA.

"Engagement ini bukan sekadar untuk mendepani pilihan raya tapi untuk pentadbiran negara itu sendiri. Kita memang tak ada masalah untuk bekerjasama (khususnya dengan parti komponen BN) kerana kita komited dalam usaha untuk mempertahan kerajaan," katanya. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!