Kawal segera harga bahan binaan rumah
BUKAN mengejutkan apabila Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Seri Ahmad Maslan mendedahkan sebanyak 27,746 unit rumah bernilai RM18.41 bilion masih tidak terjual setakat akhir Disember lalu.
Daripada jumlah itu, kediaman berharga RM500,000 hingga RM1 juta paling tidak terjual iaitu sebanyak 33.6 peratus atau 9,323 unit melibatkan RM6.29 bilion.
Ahmad bagaimanapun menjelaskan, laporan Pusat Maklumat Harta Tanah Negara (NAPIC) menunjukkan masih terdapat banyak rumah mampu milik yang boleh dibeli rakyat.
Sayangnya, kenyataan itu tidak disertakan dengan data lengkap, namun tinjauan secara rawak terhadap orang ramai mendapati harga tinggi menyebabkan mereka tidak mampu membeli rumah.
Pendapat itu turut disokong Presiden Persatuan Kontraktor Melayu Malaysia (PKMM), Datuk Seri Mohamed Fadzill Hassan kepada Sinar Harian.
Dua sebab perkara ini terjadi ialah harga tanah semakin mahal dan bahan binaan semakin meningkat.
Purata harga binaan sebuah rumah tiga bilik dengan dua bilik air sudah mencecah RM260,000 tidak termasuk harga tanah.
Ambil contoh di Lembah Klang pada tahun 2017, masih ada pemaju menjual rumah baharu teres setingkat tiga bilik dan dua bilik air dengan harga RM260,000.
Sekarang, harga rumah baharu yang sama jenis sudah mencecah RM400,000. Ada juga dijual RM350,000 tapi saiznya dikecilkan dan kualiti binaannya dikurangkan.
Bagi yang membeli rumah, hutang mereka di bank semakin melebar. Bagi yang tidak memiliki rumah pula, harga sewa rumah pula semakin tinggi disebabkan tuan rumah perlu menampung bayaran bulanan bank.
Benar, kerajaan banyak menyediakan rumah mampu milik, namun untuk mendapatkannya bukan mudah kerana terpaksa bersaing.
Oleh itu, sudah sampai masanya kerajaan melihat secara serius untuk menangani isu ini. Mengawal kenaikan harga tanah mungkin mustahil, tapi kerajaan boleh melihat semula harga-harga bahan binaan seperti simen, pasir, batu-bata, logam, jubin dan cat yang kini seolah-olah tidak ada pengawalan dan harga boleh berubah sesuka hati pengeluar.
Mungkin kerajaan perlu melaksanakan segera langkah harga kawalan bahan binaan seperti dilakukan terhadap industri ternakan ayam.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!