4 terbunuh, lebih 20 cedera insiden tembakan rambang
ALABAMA - Empat individu maut manakala lebih daripada 20 yang lain cedera dalam insiden tembakan rambang di Alabama, Amerika Syarikat (AS) pada Sabtu malam.
Pihak berkuasa berkata, kejadian berlaku di Studio Tarian Mahogany Masterpiece ketika sambutan hari lahir diadakan.
Butiran lanjut tentang insiden itu masih belum didedahkan.
"Kami akan siasat kejadian ini dengan teliti bagi memastikan pembunuh itu akhirnya dibawa ke muka pengadilan," kata Jeremy Burkett, seorang anggota polis Agensi Penguatkuasa Undang-Undang Alabama.
Jelasnya, kejadian berlaku kira-kira jam 10.43 malam pada Sabtu dan ketika ini polis belum menyatakan jika suspek telah ditahan.
Dalam satu kenyataan pada Ahad, Presiden AS Joe Biden menyifatkan keganasan melibatkan senjata api di negara itu membimbangkan.
Beliau turut menyeru Kongres untuk meluluskan rang undang-undang (RUU) yang antara lain mengharamkan senjata api pertempuran bagi kegunaan orang awam.
Insiden berkenaan berlaku pada hari yang sama dua individu terbunuh manakala empat lagi cedera dalam insiden tembakan di sebuah taman di Kentucky.
Lebih daripada 140 kejadian tembakan rambang telah berlaku setakat ini di AS. - Awani
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!