Ijtimak Huffaz Selangor himpun 2,000 pelajar tahfiz

Muhamad Hafiz (duduk, dua dari kanan) dan Abdul Aziz (duduk, tengah) bersama penerima anugerah Ijtimak Huffaz Selangor ke-16 pada Ahad.
Muhamad Hafiz (duduk, dua dari kanan) dan Abdul Aziz (duduk, tengah) bersama penerima anugerah Ijtimak Huffaz Selangor ke-16 pada Ahad.
A
A
A

SHAH ALAM - Seramai 2,000 pelajar dari 100 pusat tahfiz berhimpun dalam Ijtimak Huffaz Selangor ke-16 yang berlangsung selama dua hari di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah.

Pengerusi Persatuan Institusi Tahfiz Al-Quran Selangor (PITAS), PU Muhamad Hafiz Mohd Haneefa berkata, lebih 15 kali khatam al-Quran berjaya disempurnakan peserta melalui program pemantapan hafazan yang berlangsung pada Sabtu dan Ahad lalu.

Menurutnya, pelajar turut mengikuti pengisian motivasi serta diasah bakat peserta untuk tampil lebih yakin menjadi imam dalam masyarakat.

"Setelah dua tahun diadakan dalam skala kecil (susulan Covid-19), alhamdulillah tahun ini angka peserta meningkat kepada 2,000 orang.

"Walaupun tidak mencapai target 3,000 orang penyertaan atas beberapa kekangan seperti kos selain ada antara pusat tahfiz yang telah bercuti awal namun program berjalan lancar seperti dirancang," katanya pada penutup Ijtimak Huffaz Selangor ke-16, Ahad lalu.

Perasmian penutup disempurnakan oleh Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof.

Pada program sama turut disampaikan beberapa anugerah antaranya

Ahmad Fauzi Mat Ellah Al-Muqri dinobat Tokoh Huffaz Selangor 2023 kerana sumbangannya dalam pendidikan tahfiz di Selangor.

Barisan pelajar tahfiz yang mengikuti Ijtimak Huffaz Selangor ke-16 selama dua hari bermula Sabtu lalu.
Barisan pelajar tahfiz yang mengikuti Ijtimak Huffaz Selangor ke-16 selama dua hari bermula Sabtu lalu.

Muhamad Hafiz berkata, program tersebut diadakan bagi mengangkat huffaz yang perlu disantuni dan ditonjolkan kepada masyarakat.

"Program ini pernah mencatat rekod dalam Malaysia Book Of Records sebagai Hafazan al-Quran Virtual Terpanjang Tanpa Henti pada tahun lepas.

"Ia akan diteruskan pada tahun depan dengan menampilkan kelainan melaksanakan qiamullail dan tarawih 30 juzuk dari waktu Isyak sehingga sebelum Subuh. Kita yakin mampu melakukannya," katanya.

Dalam pada itu, Abdul Aziz berkata, program tersebut menunjukkan komitmen MAIS dan kerajaan negeri dalam memberikan sokongan penuh kepada anak-anak untuk didedahkan dengan hafalan al-Quran.

Beliau menyatakan rasa terharu dan kagum apabila anak-anak tahfiz berkenaan mampu menghafal al-Quran tanpa kesalahan bacaan dalam tempoh satu malam yang dipantau lima panel hakim.

Abdul Aziz turut memaklumkan MAIS akan membantu proses pemutihan pusat tahfiz bagi memastikan ia dapat beroperasi dengan mematuhi syarat-syarat ditetapkan demi keselamatan dan keselesaan pelajar menuntut ilmu.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!