Cadang bazar Aidilfitri dalam kalendar pelancongan Melaka

Muhammad Fikri (kiri) dan Abdul Razak (dua dari kiri) ketika sidang akhbar selepas perasmian Melaka Grand Ramadan Bazar (MELGRAB) di sini, pada malam Ahad.
Muhammad Fikri (kiri) dan Abdul Razak (dua dari kiri) ketika sidang akhbar selepas perasmian Melaka Grand Ramadan Bazar (MELGRAB) di sini, pada malam Ahad.
A
A
A

MELAKA - Bazar Aidilfitiri yang sentiasa mendapat sambutan dengan kehadiran berjuta pengunjung, dicadangkan untuk disenaraikan dalam kalendar pelancongan negeri mulai tahun depan.

Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya, Datuk Abdul Razak Abdul Rahman berkata, ia wajar dipertimbangkan kerana penganjurannya dalam tempoh sebulan pada bulan Ramadan berjaya menarik ramai pelancong terutama pelancong domestik.

Menurutnya, lebih menarik apabila pihak penganjur di beberapa bazar menggunakan kreativiti masing-masing bagi mewujudkan pengisian bermanfaat seperti meraikan anak yatim, solat berjemaah, majlis iftar persembahan artis dan pelbagai hadiah cabutan nombor bertuah.

Katanya, langkah itu juga akan dapat memperhebatkan serta mempromosikan Tahun Melaka Melaka 2024 sekali gus mencapai sasaran kemasukan 18.7 juta pelancong domestik dan antarabangsa.

"Dengan penganjuran hebat seperti di Jalan Hang Tuah ini, ia mampu menarik kehadiran pelancong domestik yang ramai.

"Jadi sebagai Exco yang bertanggungjawab saya akan berbincang bersama agensi berkaitan untuk masukkan bazar Aidilfitri sebagai aktiviti penting dalam kalender pelancongan negeri," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas perasmian Melaka Grand Ramadan Bazar (MELGRAB) oleh Ketua Menteri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh di Jalan Hang Tuah di sini, pada malam Ahad.

Sementara itu, penganjurnya, Muhammad Fikri Mohd Ali, berkata, bazar itu berjaya mencapai sasaran dengan kehadiran seramai 1.5 juta pengunjung dalam tempoh tiga minggu.

Menurutnya, nilai jualan mencecah sehingga RM3juta berbanding tahun lalu yang mana angka itu diperolehi berdasarkan agihan kupon cabutan bertuah kepada pengunjung yang berbelanja sebanyak RM30 di bazar tersebut.

"Penganjurannya bukan sekadar untuk kita mengejar keuntungan semata-mata, namun dapat mengajak pengunjung membuat amal jariah menerusi tabung sumbangan untuk pusat tahfiz selain jemputan kumpulan maulid, dan qasidah," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!