Pelita buluh kurang dapat sambutan
KOTA BHARU - Peningkatan kos sara hidup ketika ini menyebabkan pelita buluh kurang mendapat sambutan menjelang Aidilfitri.
Ia diakui sendiri oleh Siti Abibi Rasid, 40, yang merupakan usahawan pelita buluh dari Kampung Membatu, Ketereh di sini apabila hanya berjaya menjual sekitar 60 unit sahaja setakat ini.
"Jika dibandingkan tahun lalu, kami berjaya menjual lebih 1,000 unit.
"Ramai pelanggan memberitahu mereka terpaksa berjimat kerana wang sudah dihabiskan untuk persiapan persekolahan anak, menyambut Ramadan dan ada yang diuji musibah banjir," katanya kepada pemberita.
Menurut dia, lebih menyedihkan lagi apabila pelita buluh buatan suaminya, Maskuri Mat Zahid, 41, tampil dengan rekaan terbaharu iaitu bertingkat serta boleh dicabut gagal terjual.
Ujar ibu kepada lima orang anak itu, bagaimanapun mereka reda dengan keadaan tersebut walaupun sudah berpenat lelah menyiapkannya dan mengharapkan rezeki Ramadan.
Siti Abibi memberitahu, jika sebelum ini orang ramai teruja untuk mendapatkan pelita puluh bagi menerangi malam tujuh likur sehinggalah Syawal menjelang.
"Tetapi disebabkan kos hidup yang semakin meningkat, amalan tersebut terpaksa dilupakan.
"Walaupun kami hanya menjual satu unit pelita buluh dengan harga RM30, dan RM50 untuk dua unit tetapi ia tetap gagal mendapat perhatian," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!