KDA FC azam bangkit bertemu KL City
KEDAH Darul Aman (KDA) FC berazam bangkit pada aksi kesembilan Liga Super 2023 untuk kembali memburu mata penuh apabila menerima kunjungan Kuala Lumpur City (KL City) di Stadium Darul Aman pada malam Selasa.
Ketua Jurulatihnya, Nafuzi Zain mengakui semua pemain kecewa selepas tewas besar 6-0 kepada Johor Darul Ta'zim pada aksi terdahulu, namun mereka perlu kembali bangkit untuk menyaingi kelompok atasan Liga Super.
"Perasaan pemain memang kecewa selepas tewas besar kepada skuad Harimau Selatan dengan keputusan yang kita sendiri tidak jangka.
"Namun selepas itu pemain memperlihatkan keazaman tinggi ingin bangkit kembali pada aksi kali ini.
"Saya harap pemain dapat melupakan kekecewaan lalu dan mengambil pengajaran sebaiknya dengan positif untuk bangkit lebih kuat bagi menentang KL City di laman sendiri," katanya pada Isnin.
Jelas Nafuzi, tempoh rehat seminggu digunakan sebaik mungkin oleh Sang Kenari untuk meningkatkan prestasi selepas mereka gagal melayakkan diri ke pusingan 16 Piala FA 2023.
Menurutnya, kehadiran semula dua tonggak utama barisan pertahanan iaitu Ariff Farhan dan Wan Amirul Afiq memperkuatkan kembali pasukannya selepas tempoh penggantungan mereka tamat.
"Kita kini memiliki pemain yang lebih lengkap dalam pasukan dan ini membolehkan kita memiliki pilihan dan perancangan yang lebih baik.
"Saya berharap semua posisi dapat berfungsi dengan baik dan lancar kerana dengan keadaan itu saja kita dapat meningkatkan tahap permainan berpasukan pada tahap yang dirancang," ujar beliau.
Menurutnya lagi, KDA FC perlu berwaspada dengan ancaman pasukan pelawat kerana dibarisi ramai pemain berpengalaman dalam saingan Liga Malaysia.
"KL City adalah sebuah pasukan yang memiliki banyak pemain berpengalaman dalam Liga Malaysia dan keputusan mereka juga kini semakin baik dengan mencatatkan tiga kemenangan berturut-turut," kata Nafuzi.
Sang Kenari kini berada di tangga keempat Liga Super selepas lima kemenangan, satu seri dan dua kekalahan, manakala KL City yang kurang satu perlawanan berada di tangga ke lapan melalui dua kemenangan, tiga seri dan dua kekalahan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!