Mane diturunkan bertemu City
PENGENDALI Bayern Munich, Thomas Tuchel telah mengesahkan bahawa Sadio Mane akan berada dalam skuad untuk perlawanan kedua suku akhir Liga Juara-Juara menentang Manchester City pada Rabu.
Bintang Senegal itu digantung satu perlawanan kerana menumbuk rakan sepasukan Leroy Sane di bilik persalinan selepas kekalahan 3-0 di tangan City pada perlawanan pertama.
Sane mengalami bengkak dan luka di bibir, namun Tuchel menegaskan isu itu telah diselesaikan sepenuhnya.
"Sadio Mane akan berada dalam skuad pada hari Rabu. Isu ini sudah habis dan dia sudah minta maaf," kata Tuchel.
Sebelum ini, Mane digantung satu perlawanan selepas insiden tersebut dan terlepas perlawanan Bundesliga menentang Hoffenheim.
Kelab itu juga mengesahkan bahawa Mane akan dikenakan didenda atas tindakannya itu.
Bayern bakal berdepan tugas sukar menentang City di Allianz Arena selepas kelab gergasi Liga Perdana Inggeris itu menguasai perlawanan pertama di Stadium Etihad.
Rodri, Bernardo Silva dan Erling Haaland menemui sasaran untuk memberikan bekalan selesa buat City menjelang aksi di Munich.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!