Suspek kes ragut warga emas diburu
KAMPAR - Polis sedang giat mengesan seorang lelaki bagi membantu siasatan kes ragut sehingga mendatangkan kecederaan kepada seorang warga emas, minggu lalu.
Kejadian sekitar jam 9.45 pagi di tepi Jalan Masjid dekat pekan Kampar itu tular selepas satu rakaman video berdurasi 1 minit dan 12 saat dikongsi di media sosial.
Ketua Polis Daerah Kampar, Superintendan Mohamad Nazri Daud berkata, suspek berjaya melarikan diri dengan meninggalkan motosikal jenis Yamaha LC135 berwarna ungu di tempat kejadian.
Menurutnya, ketika kejadian suspek berbadan kurus dan berketinggian lebih kurang 170 sentimeter memakai helmet tutup muka penuh, berjaket hitam dan berseluar panjang.
"Butir-butir diri suspek telah diperoleh, namun didapati lelaki itu menggunakan alamat yang tidak wujud. Usaha mengesan suspek masih diteruskan," katanya ketika dihubungi di sini pada Isnin.
Beliau berkata, pada kejadian 10 April itu, mangsa berusia 62 tahun telah diekori suspek yang dalam perjalanan dari pekan Kampar menghala ke Jalan Gopeng.
Katanya, suspek yang merapati motosikal ditunggangi mangsa bertindak menarik rantai leher mangsa sehingga berlaku pergelutan.
"Mangsa bertindak pantas dengan melompat ke atas motosikal suspek menyebabkannya terbabas.
"Akibat kejadian itu mangsa mengalami cedera di bahagian lutut kanan dan kiri," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!