Jabatan Perangkaan lancar portal baharu lebih mudah diakses
SHAH ALAM - Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), hari ini melancarkan Portal Baharu dan Aplikasi Mudah Alih DOSM dan juga portal banci ekonomi bagi memudahkan orang ramai mendapatkan maklumat berkenaan khidmat aplikasi DOSM.
Portal baharu itu diwujudkan selari dengan usaha pemodenan dan inovasi berterusan DOSM ke arah penyampaian perkhidmatan statistik yang mempunyai nilai tambah kepada perkhidmatan kerajaan.
Ia dilengkapi dengan platform yang moden berasaskan ciri-ciri portal yang menggunakan teknologi terkini, reka bentuk dan susun atur moden, minimalistik dan kemas, dwibahasa iaitu penggunaan Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris.
Selain itu, ia mengutamakan pengalaman pengguna, menyokong semua kandungan yang diperlukan oleh pengguna, boleh dikembangkan dengan mudah, pelbagai fungsi-fungsi terkini dan menyokong keperluan kandungan & fungsi DOSM seperti stats release, student corner, susun atur ergonomik dan mesra pengguna.
Majlis perasmian itu disempurnakan oleh Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin dalam satu majlis di Ibu Pejabat DOSM, di Putrajaya, hari ini.
Menurutnya Dr Mohd Uzir, Portal Baharu dan Aplikasi Mudah Alih DOSM kali ini memperkenalkan ciri-ciri utama seperti Fun With Statistics, Chat Bot, Integrasi Tableau, Table Builder, Perkongsian Media Sosial, Multi User CMS, Analitik Kandungan dan Data Mining.
“Portal ini turut menawarkan inovasi perkhidmatan tambahan dengan ciri-ciri aplikasi mudah alih yang dibangunkan menggunakan teknologi dan platform Google Flutter, mudah digunakan dan mesra pengguna serta memenuhi semua keperluan pengguna dengan dilengkapi versi mobile apps di Applestore & playstore.
“DOSM juga buat pertama kalinya melancarkan Portal Banci Ekonomi yang mana objektif utamanya adalah sebagai platform penyampaian maklumat dan statistik berkaitan Banci Ekonomi 2023,”katanya.
Dr Mohd Uzir berkata, portal ini menyediakan paparan antara muka yang mudah dinavigasi dan mengandungi pelbagai kandungan dan pautan.
“Portal ini merupakan gerbang utama berkonsepkan one-stop centre bagi memudahkan pengguna, terutamanya responden banci untuk mendapatkan segala maklumat berkaitan pelaksanaan Banci Ekonomi 2023.
“Antara kandungan portal ini ialah makumat umum Banci Ekonomi 2023, soalan lazim, soal-selidik, panduan mengisi soal selidik, penerbitan banci ekonomi terdahulu dan pautan kepada pengisian soal-selidik secara dalam talian (e-Be),”katanya.
Menurutnya, pengguna juga boleh mengakses dashboard data ekonomi (MyEase) yang meliputi data siri ekonomi bermula dari tahun 2005.
“Portal ini turut memaparkan laporan kemajuan pelaksanaan banci serta liputan berita dan media terkini berkaitan banci ekonomi.
“Usaha untuk menaiktaraf kepada Portal Baharu & Aplikasi Mudah Alih DOSM dan Portal Banci Ekonomi dilakukan sejajar dengan keperluan semasa bagi menyemarakkan penyebaran maklumat untuk rujukan pelbagai lapisan pengguna termasuk penggubal dasar, ahli perniagaan, penyelidik, belia, pelajar, wartawan, saintis data dan juga orang awam secara keseluruhannya,”katanya.
Orang ramai boleh melayari https://www.dosm.gov.my dan https://www.economiccensus.dosm.gov.my untuk maklumat lanjut.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!