Bukan sebab JDT yang kuat

Tunku Ismail
Tunku Ismail
A
A
A

PEMILIK pasukan Johor Darul Ta'zim (JDT), Tunku Ismail Sultan Ibrahim tidak melihat pasukan Harimau Selatan itu terlalu kuat dalam saingan Liga Malaysia (Liga-M) musim ini.

Sebaliknya, Tunku Ismail yang juga Tunku Mahkota Johor (TMJ) itu menilai kemungkinan perancangan yang salah dilakukan kelab lain sehingga mereka gagal menyaingi JDT.

"Bukan kami yang kuat, agak-agak oleh kerana perancangan yang salah, yang lain makin tak kuat. Selalu orang nampak JDT makin kuat, ia bukan soal JDT makin kuat.

"JDT akan sentiasa cuba tambah baik (kualiti pasukan) setiap tahun. Tetapi, jika ada masalah antara pasukan lain, kemungkinan persiapan pasukan lain atau perancangan pasukan lain itu salah.

"Bukan saya nak persoalkan, tetapi saya rasa kita (JDT) tidak begitu kuat kalau nak dibandingkan dengan analisis kami tahun lepas. Kami hanya kuat beberapa peratus tetapi mungkin ada kekurangan itu datang daripada pasukan lain," katanya dalam satu temubual bersama Astro Arena.

JDT membuktikan keunggulan mereka dalam saingan Liga-M apabila merekodkan 39 gol dan hanya bolos sekali musim ini.

Juara sembilan kali Liga Super itu turut melakar beberapa kemenangan besar ke atas pasukan pencabar utama seperti Selangor 4-0, Sabah 4-0 dan Kedah Darul Aman 6-0.

Dalam pada itu, Tunku Ismail juga mendakwa penstrukturan yang dilakukan Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) yang menyaksikan tiada lagi pasukan akan tersingkir juga membuatkan kelab rasa terlalu selesa.

"Mungkin juga mindset atau mentaliti selesa apabila MFL tukar format tiada lagi penyingkiran dan tiada 'promotion'. Jadi, pasukan tahu kalau kalah setiap perlawanan pun masih ada di Liga Super," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!