KSM sasar 125,000 peserta Minggu Latihan Kebangsaan 2023

Sivakumar (tiga dari kanan) dan Mohamed Khaled (tiga dari kiri) semasa gimik Majlis Pra-Pelancaran NTW 2023 pada Isnin.
Sivakumar (tiga dari kanan) dan Mohamed Khaled (tiga dari kiri) semasa gimik Majlis Pra-Pelancaran NTW 2023 pada Isnin.
A
A
A

PUTRAJAYA - Kementerian Sumber Manusia (KSM) melalui Human Resource Development Corporation (HRD Corp) menyasarkan sebanyak 125,000 peserta termasuk kanak-kanak dan warga emas menyertai Minggu Latihan Kebangsaan (NTW) 2023.

Menterinya, Sivakumar berkata, NTW yang berlangsung pada 22 hingga 28 Mei merupakan minggu kesedaran latihan besar-besaran yang menghimpunkan pelbagai pihak, organisasi dan individu dari pelbagai latar belakang serta industri.

Menurut beliau, ia adalah bagi mewujudkan peluang pembelajaran dan pembangunan kemahiran lebih luas menerusi program dan latihan yang meliputi pelbagai topik dan kemahiran secara percuma.

“Kementerian turut jangka NTW menarik lebih 5,000 jurulatih dan kolaborator yang akan menyampaikan lebih 5,000 kursus latihan dengan rekod lebih 500,000 jam.

“Anggaran kos latihan bernilai lebih RM250 juta. Kerajaan juga sedang mempertimbangkan untuk menjadikan NTW sebagai acara tahunan,” katanya semasa berucap di Majlis Pra-Pelancaran National Training Week 2023.

Tambahnya, NTW 2023 turut mendapat kerjasama daripada Kementerian Pengajian Tinggi, Kementerian Pendidikan, Kementerian Kesihatan dan Kementerian Belia dan Sukan.

“Selain itu, kita juga akan bekerjasama dengan pemain industri di sektor swasta, badan dan organisasi yang tidak berasaskan keuntungan lain untuk menjayakan NTW 2023,” jelasnya.

Tambah beliau, NTW adalah inisiatif terbaik dalam menzahirkan matlamat untuk menangani jurang ketidakpadanan kemahiran.

“Untuk itu, saya menggesa semua pihak, dari organisasi multinasional kepada Perusahaan Kecil Sederhana (PKS), penyedia latihan, jurulatih individu serta institusi pendidikan dari universiti hingga pusat TVET, agar menyokong NTW 2023," katanya.

Sementara itu, Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, sepanjang tempoh NWT, politeknik dan kolej-kolej komuniti di bawah KPT akan menawarkan pelbagai kursus dan latihan jangka pendeknya secara percuma kepada semua yang berminat.

Oleh demikian, beliau menyeru dan menggesa semua graduan, tenaga kerja dan sesiapa sahaja untuk merebut peluang keemasan ini.

“Kaji dan pilihlah program atau kursus yang bersesuaian dengan minat serta kemahiran anda. Gunakanlah masa ini untuk meningkatkan kapasiti dan kebolehpasaran diri,” ujarnya.

Pihak yang berminat boleh melayari www.nationaltrainingweek.gov.my untuk mengetahui lebih lanjut dan mendaftar mana-mana kursus yang ditawarkan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!