Anthony nasihat Ka Siong tidak keluarkan kenyataan mengelirukan
PUTRAJAYA - [KEMAS KINI] Ahli Parlimen Ayer Hitam, Wee Ka Siong dinasihati agar tidak mengeluarkan kenyataan mengelirukan.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, sebagai bekas menteri yang mempunyai pengetahuan mengenai industri penerbangan, Ka Siong sepatutnya mendidik rakyat bagi mendapatkan tiket termurah dengan membandingkan pelbagai aplikasi, bukan hanya melihat kepada satu aplikasi semata-mata.
"Mantan menteri takkan tidak tahu bahawa Malaysia Airlines (MAS) ada aplikasi sendiri. Kalau periksa tiket MAS, mengapa guna aplikasi AirAsia?
"Ini macam nak beli KFC tapi pergi ke McDonald's," katanya menerusi sidang akhbar di kementeriannya pada Isnin.
Menurutnya, orang ramai mungkin tidak memahami bagaimana harga tiket ditentukan oleh syarikat penerbangan atau apakah mekanisme penentuan harga tiket tersebut.
"Tapi bekas menteri semestinya tahu perkara itu," katanya.
Beliau berkata, sebanyak 78 peratus kerusi MAS telah terjual sepanjang musim perayaan ini dengan harga yang ditawarkan RM209 sehingga RM841 bagi kelas ekonomi.
"AirAsia juga menawarkan harga tiket tetap pada kadar RM199 ke Sarawak dan RM249 ke Sabah bagi memenuhi permintaan sempena perayaan Hari Raya Aidilfitri," katanya.
Anthony berkata, tidak dinafikan terdapat tiket mahal namun ia kebiasaannya melibatkan tiket yang dibeli pada saat akhir.
"Kalau beliau (Ka Siong) tidak percaya ada tambang murah, saya secara terbuka mengundang beliau ke majlis pelepasan penerbangan ke Tawau pada Khamis ini di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur Terminal 2, jam 10.15 malam.
"Jadi beliau boleh temu bual setiap penumpang," ujarnya. Dalam pada itu, Anthony mengesahkan tiada sebarang aduan berhubung harga tiket penerbangan diterima Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (MAVCOM) bagi musim perayaan ini.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!