Pasukan petugas 1MDB fokus rungkai perjanjian dengan Goldman Sachs
KUALA LUMPUR - Pasukan Petugas 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang berperanan menyelesaikan beberapa isu membabitkan skandal itu kini memberi penumpuan kepada perjanjian dengan Goldman Sachs.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, berdasarkan maklumat awal, pasukan khas diketuai Ahli Parlimen Titiwangsa, Datuk Seri Johari Abdul Ghani itu berpendapat perjanjian bersama Goldman Sachs harus dirungkai semula.
"Saya bersetuju (dirungkai semula), kerana dari awal saya anggap perjanjian ini dibuat secara gopoh gapah, maka ia timbulkan banyak persoalan... kerana kita harus diberi banyak.
Umpamanya dengan IPIC (International Petroleum Investment Co)... dengan mereka dahulu nak selesai dengan jumlah yang kecil, bila kita bertegas.. kita dapat 1.8 bilion dolar (AS$), itu besar.
Sebab itu saya kata orang kadang pandang remeh soal ketelusan dan ketegasan tapi ini soal menyelamatkan wang rakyat,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan Karya Agung Sayr Al-Salikin (4 Jilid) dan Hikayat Iskandar Zulkarnain di Wisma Dewan Bahasa dan Pustaka di sini hari ini.
Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan media mengenai perkembangan terkini pasukan siasatan khas diketuai Johari itu selain turut dianggotai wakil kementerian dan wakil peguam negara yang ditubuhkan bulan lepas.
Untuk rekod, penyelesaian dengan bank pelaburan antarabangsa itu dicapai pada tahun 2020 ketika Tan Sri Muhyiddin Yassin menjawat jawatan sebagai Perdana Menteri.
Sementara itu dalam perkembangan berasingan, Anwar berkata kerajaan akan meneliti cadangan veteran DAP, Lim Kit Siang yang meminta kerajaan menerbitkan laporan Majlis Penasihat Kerajaan (CEP) dan Jawatankuasa Reformasi Institusi (IRC).
"Maklumat ini (cadangan Kit Siang) baru sampai kepada saya, saya akan teliti bersama Jemaah Menteri, kerana prinsip kita dalam kerajaan ini, seperti mana (dedahkan) Laporan Nahas Double Six 1976, pendirian kita ialah tidak harus simpan, tetapi maklumat harus diperluas kepada rakyat,” katanya. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!