Dicampak dari jambatan kerana tegur buat bising

Ahmad Ridhwan menunjukkan rotan yang dirampas untuk membantu siasatan.
Ahmad Ridhwan menunjukkan rotan yang dirampas untuk membantu siasatan.
A
A
A

KUALA LANGAT - Gara-gara menegur tindakan seorang lelaki yang kerap membuat bising, seorang tukang cuci cedera dipukul dan dicampak dari ketinggian kira-kira 50 meter di jambatan Kampung Sawah, Banting, di sini, pada Khamis lalu.

Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintendan Ahmad Ridhwan Mohd Nor berkata, pihaknya menerima maklumat berkaitan kes tersebut pada jam 3.25 pagi.

"Orang awam telah membuat panggilan kecemasan mendakwa terdengar suara mangsa meminta tolong di bawah jambatan tersebut.

"Wanita berusia 52 tahun itu berjaya diselamatkan oleh orang awam, sebelum dihantar ke Hospital Banting untuk rawatan lanjut," katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Ahmad Ridhwan berkata, hasil temubual awal, kejadian berpunca kerana mangsa menegur tindakan suspek yang kerap membuat bising serta selalu meminum minuman keras dan mengambil dadah di rumah sewa yang didiami oleh mangsa dan lelaki itu.

"Mangsa telah dipukul dan dicederakan dengan menggunakan senjata tajam serta dirotan oleh beberapa lelaki warga tempatan, sebelum dicampak di jambatan itu," katanya.

Beliau berkata, bertindak atas maklumat, sepasukan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Langat menahan lima lelaki di lima lokasi berasingan pada jam 1 hingga 6 petang hari yang sama.

"Kita turut merampas sebuah kereta jenis Proton Perdana dan sebatang rotan," katanya.

Ahmad Ridhwan berkata, kesemua suspek berusia dalam lingkungan 30-an, hasil semakan mendapati mereka mempunyai rekod jenayah lampau berkaitan jenayah dan dadah.

"Hasil saringan air kencing terhadap kesemua suspek dapati tiga daripada mereka positif dadah jenis methaphetamine dan ganja.

"Kesemua suspek ditahan reman selama empat hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 364 dan 326 Kanun Keseksaan," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!