Semak status sekatan perjalanan sebelum rancang cuti luar negara

No Image Caption
A
A
A

KUALA LUMPUR - Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (HASiL) menyarankan kepada semua pembayar cukai untuk menyemak status tunggakan cukai dan sekatan perjalanan masing-masing sebelum merancang sebarang perjalanan percutian ke luar negara.

HASiL dalam kenyataan hari ini berkata sekatan perjalanan merupakan tindakan terakhir yang dikenakan sekiranya pembayar cukai gagal membuat bayaran terhadap baki cukai tertunggak (individu dan syarikat) selepas pelbagai peringatan dan notis telah diberikan.

Pembayar cukai perlu menyemak status tunggakan cukai mereka melalui portal MyTax selain semakan sekatan perjalanan di laman web Jabatan Imigresen Malaysia.

Pembayar cukai dimohon membuat bayaran atau menghubungi pejabat HASiL yang mengendalikan fail cukai untuk membuat rundingan bayaran ansuran bagi membolehkan mereka meneruskan perjalanan ke luar negara.

Sebarang pertanyaan serta maklum balas berkaitan boleh dimajukan kepada Hasil Care Line di talian 03-8911 1000 / 603-8911 1100 (Luar Negara); HASiL Live Chat; dan Borang Maklum Balas di portal rasmi HASiL di pautan pantas. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!