'Tak pernah percaya spekulasi' - Isteri pramugara MH370

Intan Maizura
Intan Maizura
A
A
A

SHAH ALAM - Tidak pernah percaya kepada sebarang spekulasi antara faktor menjadikan isteri kepada pramugara MH370, Mohd Hazrin Mohamed Hasnan terus kuat dan cekal menghadapi dugaan setelah pesawat itu hilang pada 8 Mac 2014.

Menurut Intan Maizura Othaman, selagi tiada kenyataan rasmi dan dokumen hitam putih, segala spekulasi yang dibaca dan dihantar kepadanya adalah tidak benar dan tidak boleh dipercayai.

“Spekulasi banyak sahaja yang saya terima. Ada mereka hantar dekat WhatsApp dan ada juga yang saya baca sendiri.

"Namun, saya tidak pernah untuk percaya selagi tiada hitam dan putih,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam program MUM yang bertajuk Bangkit Kembali Selepas Kehilangan dihoskan oleh Hazlin Hussain yang disiarkan di platform Sinar Harian pada Isnin.

Dari kiri, Hazlin Hussain dan Intan Maizura semasa program MUM yang bertajuk Bangkit Kembali Selepas Kehilangan pada Isnin.
Dari kiri, Hazlin Hussain dan Intan Maizura semasa program MUM yang bertajuk Bangkit Kembali Selepas Kehilangan pada Isnin.

Tambahnya, cara lain yang dilakukan bagi menguatkan diri daripada tragedi yang menyebabkan suaminya hilang adalah melalui spiritual iaitu kembali kepada ALLAH dengan memperbanyakkan amalan.

“Saya cari guru, ustazah untuk lebih kepada ke arah sana (agama). Benda ini sahaja boleh kuatkan hati saya.

"Selain itu, saya kawal hati juga melalui bacaan ayat Kursi. Ayat ini sememangnya hebat. Kalau ada masalah, cuba baca ayat ini,” ujarnya.

Intan Maizura juga berkongsi, apabila seseorang menghadapi masalah, perkara utama yang perlu dijaga terlebih dahulu adalah diri sendiri sebelum memikirkan perihal orang lain termasuk keluarga.

Jelasnya, keputusan yang terbaik untuk diri sendiri perlu dilakukan terlebih dahulu agar tiada masalah lain yang akan timbul.

“Kalau untuk (keputusan) awak betul, maka untuk keluarga dan anak-anak juga akan betul. Kalau fikirkan orang lain, awak akan serabut. Buat keputusan yang terbaik untuk diri sendiri dulu.

“Awak tidak boleh jaga orang lain kalau awak sendiri tidak aman. Dalam setiap masalah, jaga diri dulu.

"Pada masa kejadian, apa saya buat ialah duduk diam-diam. Kemudian fikir apa nak buat. Saya jaga hati supaya tidak fikir, menangis yang berlebihan,” ujarnya.

Tambahnya, orang terdekat juga perlu memainkan peranan penting untuk mendengar luahan selain memberikan kasih sayang agar seseorang tersebut tidak berasa kesunyian.

“Carilah sistem sokongan yang kamu rasa selesa. Seorang dua pun dah cukup. Ia boleh jadi keluarga, ataupun kawan-kawan.

"Macam saya, cari persekitaran yang kuat dan boleh membantu. Sekurang-kurangnya tidak terlalu fokus kepada kematian,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!