Jawi syor solat hajat doakan kesejahteraan Sudan
KUALA LUMPUR - Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) menyarankan semua masjid dan surau di Wilayah Persekutuan melaksanakan solat hajat dan mendoakan kesejahteraan serta keselamatan rakyat Malaysia yang berada di Sudan.
Pengarah Jawi, Datuk Mohd Ajib Ismail berkata, susulan konflik dan ketegangan yang berlaku di Sudan, solat hajat itu disarankan diadakan pada malam ini selepas solat Isyak.
"Semoga rakyat Malaysia (di Sudan) sentiasa berada di bawah lindungan Allah SWT pada setiap masa dan ketegangan di Sudan dapat dihentikan segera.
"Doa dan munajat yang dipanjatkan ke hadrat Allah SWT pada 10 malam terakhir Ramadan adalah lambang solidariti berpanjangan umat Islam untuk keamanan masyarakat di seluruh dunia," katanya menerusi kenyataan pada Isnin.
Pada Isnin, Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menyarankan kerajaan bersedia untuk membawa pulang rakyat Malaysia di Sudan sekiranya konflik di negara itu bertambah tegang.
Menerusi catatan di laman Facebook Istana Negara, Seri Paduka dalam titah baginda menyeru seluruh rakyat untuk bersama baginda mendoakan keselamatan dan kesejahteraan rakyat Malaysia yang berada di Sudan berikutan krisis yang berlaku di negara itu ketika ini.
Seri Paduka turut menyeru seluruh masjid mengadakan solat hajat dan doa selamat memohon ihsan ALLAH SWT agar rakyat Malaysia berada di bawah lindungan-Nya dan ketegangan di Sudan dapat dihentikan dengan segera.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!