Treler mengundur akibat brek rosak langgar 8 kenderaan
SHAH ALAM - Sebuah treler yang berhenti di lampu isyarat mengundur secara tiba-tiba lalu melanggar lapan kenderaan dalam kemalangan di Rawang Mutiara Business Centre, Rawang, Selangor pada Isnin.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Morni Mamat berkata, kejadian jam 3.47 petang di hentian lampu isyarat pusat perniagaan itu disebabkan treler membawa muatan pasir dipercayai menghadapi masalah kegagalan sistem brek.
Katanya, treler itu mengundur secara perlahan dan melanggar lapan buah kenderaan yang berada di belakangnya.
"Melihat situasi tidak diduga itu, semua mangsa dalam kenderaan bertindak keluar menyelamatkan diri.
"Tiada mangsa yang mengalami kecederaan dan pihak bomba hanya membuat pemantauan di lokasi kejadian," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!