‘Tipulah kalau tidak sebak, tetapi tugas perlu diutamakan’
JOHOR BAHRU – Terpaksa bekerja di pagi raya sudah menjadi kelaziman buat anggota polis trafik demi menggalas tugas yang dipertanggungjawabkan.
Mereka sanggup berkorban dalam usaha memastikan Op Selamat berjalan lancar sepanjang tempoh cuti raya setiap tahun.
Bagi anggota polis trafik dari Ibu Pejabat Polis Daerah Seri Alam, Koperal Noor Syida Hassim, 38, beliau sudah biasa dengan situasi sedemikian sejak mula berkhidmat dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Bagaimanapun, ibu kepada dua anak itu berkata, beliau tetap reda kerana baginya ia merupakan tanggungjawab dan amanah yang perlu dilaksanakan.
“Seperti biasa macam tahun-tahun lain, kami (polis trafik) memang tak cuti raya sehinggalah Op Selamat selesai. Tipulah kalau tak rasa sebak dan sayu di pagi raya, tapi kami tetap perlu mengutamakan tugas dahulu.
“Insya-ALLAH, selepas Op Selamat selesai, saya akan pulang beraya di Perak. Tak sabar nak makan menu raya yang menarik di kampung nanti,” katanya.
Sementara itu, anggota Bahagian Siasatan Penguatkuasaan Trafik IPD Seri Alam, Koperal Mohd Fadzrin Sham Zubirsham, 36, berkata, perasaan rindu kepada keluarga terpaksa diketepikan buat seketika bagi memberi fokus kepada tugasan sempena Op Selamat kali ini.
“Saya dah 15 tahun bertugas dan macam biasa setiap kali hari raya, memang tak bercuti macam orang lain.
“Sebagai anggota unit beruniform kami perlu bersedia berkorban demi tugasan yang diberikan.
“Untuk orang ramai yang pulang beraya, berhati-hati di jalan raya kerana hari raya adalah masa untuk kita bergembira bukannya berduka,” katanya yang berasal dari Parit Buntar, Perak.
Sementara itu, Pegawai Penyiasat Trafik IPD Seri Alam, Inspektor Shamshila Mohd Kamil, 30, berkata, bertugas di hari raya terutamanya bagi menjayakan Op Selamat merupakan tanggungjawab yang perlu dilaksanakan dengan sebaik mungkin.
Beliau yang berasal dari Kuala Kubu Bharu, Selangor itu berkata, keluarga di kampung juga sudah memahami tugasnya dan tetap menanti kepulangannya pada setiap kali hari raya.
“Untuk tahun ni, sekali lagi saya tak dapat bercuti raya. Selepas selesai semua tugasan Op Selamat, insya-ALLAH baru saya akan meluangkan masa berhari raya bersama keluarga tercinta,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!