Jaga kesihatan, jangan sampai kacau 'mood' raya

Gambar hiasan - Foto 123RF
Gambar hiasan - Foto 123RF
A
A
A

MENJELANG beberapa hari sahaja lagi Syawal bakal diraikan, masih ramai warga kota membanjiri gedung pakaian mahupun pusat beli-belah bagi mendapatkan barangan diingini.

Jika diperhatikan, bukan sahaja orang dewasa yang memenuhi bazar Aidilfitri, malah turut dibawa bersama anak-anak kecil dan golongan warga emas ke tempat terbuka seperti di Jalan Tuanku Abdul Rahman (TAR) untuk membeli baju raya.

Walaupun dengan cuaca panas dan berpuasa, mereka masih gigih 'membelah lautan' manusia semata-mata untuk mendapatkan apa yang dihajati.

Mereka seakan tidak menghiraukan keadaan cuaca panas keterlaluan dan menganggap keadaan itu lebih baik daripada hujan yang akan menyukarkan pergerakan.

Bagaimanapun perlu diingat, ancaman cuaca panas dan berjerebu lebih membahayakan kesihatan, malah boleh mengakibatkan seseorang itu terdehidrasi dan lebih teruk, diserang strok haba.

Oleh yang demikian, orang ramai dinasihatkan untuk mengambil serius keadaan itu dengan mengambil langkah selamat seperti mengenakan pakaian selesa dan longgar selain mengehadkan aktiviti di luar rumah ketika cuaca panas.

Seperti yang disarankan oleh pakar kesihatan, orang ramai perlu memperbanyakkan minum air ekoran ketika cuaca panas menyebabkan pengeluaran peluh yang banyak dan boleh mengakibatkan jumlah kandungan air dalam badan berkurangan.

Bagi mereka yang mempunyai penyakit migrain, serangan sakit kepala boleh belaku dengan kerap dan berpanjangan.

Justeru orang ramai perlu lebih berwaspada ketika ‘mendedahkan’ diri dengan keadaan cuaca panas dan mengambil kira tindakan sewajarnya untuk mengelakkan diri daripada terdedah dengan risiko yang dinyatakan.

Memandangkan Aidilfitri bakal diraikan kurang lima hari lagi, kita tidak mahu ‘mood’ raya itu diganggu dengan keadaan kesihatan yang tidak mengizinkan.

Ketika ini penjagaan kesihatan perlu diutamakan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!