Garis panduan p-hailing perlu jelas
SHAH ALAM - Kerajaan perlu duduk bersama, berbincang dengan pemegang taruh berkenaan p-hailing di meja rundingan bagi mengenal pasti kaedah terbaik yang boleh dilaksanakan dalam mengawal selia sektor tersebut.
Mantan Ketua Bahagian Polisi dan Perancangan Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD), Wan Agyl Wan Hassan berkata, ia supaya kawal selia yang dilakukan tidak memberi kesan teruk terhadap industri tersebut.
Menurutnya, sekiranya undang-undang dilaksanakan terlalu ketat terhadap sektor yang dinamik itu, ia menyebabkan industri p-hailing tidak mempunyai ruang untuk berkembang dan berinovasi bagi penambahbaikan.
“Pemain industri adalah pemegang taruh yang paling penting selain daripada pengguna kerana mereka lebih tahu apa yang berlaku dalam industri. Kerajaan kena ambil langkah membawa mereka ke meja rundingan dan membincangkan kaedah terbaik.
“Tidak boleh terlalu ketat sebab sedia maklum, gig ekonomi ialah satu persekitaran yang membenarkan mana-mana individu yang nak cari peluang dalam masa yang singkat atau separuh masa capai matlamat. P-hailing ini menjadi ruang untuk mendapat pendapatan sampingan.
“Jadi, kalau kita mengawal selia industri gig ekonomi terlalu ketat, saya takut ia akan beri kesan buruk kepada industri itu sendiri. Jangan ditakrif semula industri ini untuk sepenuh masa seolah-olah seperti industri teksi,” katanya pada Khamis.
Beliau berkata demikian dalam program Sinar Live yang bertajuk P-Hailing: Kerajaan Dah Sedia Nak Kawal Selia Ke? yang disiarkan di platform Sinar Harian dan dihoskan oleh Hazwan Mokhtar.
Wan Agyl berkata, kerajaan tidak boleh tergesa-gesa dan perlu mengambil masa dalam melakukan polisi agar inisiatif yang dilakukan tidak membunuh pemain-pemain tempatan.
“Semasa di SPAD untuk gubal dasar dan undang-undang, kami ambil masa dua tahun. Kita ada satu sesi iaitu ambil masa lima minggu yang mana duduk berbincang dan panggil semua pemegang taruh dari agensi kerajaan, pemain industri, pemandu, syarikat teksi, e-hailing, JPJ, Puspakom untuk pastikan semua suara diambil kita.
“Ini yang perlu dilakukan kerajaan supaya tidak ada suara yang tertinggal. Kita panggil juga persatuan pengguna agar ada kesamarataan,” ujarnya.
Menurut beliau, perkara yang paling utama perlu dilakukan kerajaan dalam mengawal selia adalah berkenaan kebajikan dan juga keselamatan penghantar barangan atau makanan yang menggunakan motosikal.
Jelasnya, satu garis panduan perlu dilakukan agar semua syarikat perkhidmatan yang menawarkan p-hailing mempunyai elemen-elemen menjaga kebajikan dan keselamatan pekerja.
“Contohnya, caruman Socso. Selain itu, kena ada juga pendidikan yang menggalakkan penunggang ini ambil insurans. Mungkin boleh buat secara kelompok atau kerajaan beri kepada penunggang.
“Bagi keselamatan, yang ini tidak boleh nak harapkan kerajaan sahaja kawal selia. Penyedia perkhidmatan dan penunggang turut ambil tanggungjawab. Contohnya, dari segi latihan untuk keselamatan dari segi pakaian.
“Selain itu, mungkin dari jumlah jam bekerja. Jangan bagi kerja lama-lama. Kita boleh tutupkan sistem sekiranya penunggang sudah lebih lapan jam. Ataupun, setelah empat jam kerja, rehat dan kemudian sambung semula,” katanya.
Beliau turut mencadangkan supaya kerajaan hanya mengawal selia sektor p-hailing itu di peringkat pemain industri sahaja agar tidak berlebih-lebihan.
Wan Agyl berkata, sekiranya perkara tersebut berlebih-lebihan, ia dikhuatiri akan mencekik industri sehingga menyebabkan sektor tersebut tidak berkembang dan mati.
Menurutnya, industri itu amat dinamik dan mampu berkembang secara meluas dalam pelbagai peringkat.
“Kena percaya kepada industri. Kerajaan boleh pantau secara dekat industri sebab sekiranya ada salah laku atau masalah-masalah, boleh diambil tindakan,” ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!