Kesedaran terhadap alam sekitar
SHAH ALAM – Pemuliharaan alam sekitar menjadi agenda utama yang akan diketengahkan oleh KiKaKo Kids pada Karnival Pendidikan Sinar Bestari yang akan berlangsung pada 10 hingga 12 Mei depan.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) KRU Group, Datuk Norman Abdul Halim, KiKaKo Kids akan mempromosikan lebih mendalam tentang pemuliharaan alam sekitar dan melindungi haiwan liar dalam bentuk persembahan lagu kanak-kanak.
“Persembahan lagu kanak-kanak ini akan terdiri daripada lagu popular dalam dan luar negara iaitu Malaysia, Indonesia dan negara barat.
“Ia bertujuan memberi ilmu dalam bentuk nyanyian lagu kepada pengunjung khususnya murid sekolah tentang tanggungjawab memelihara alam sekitar,” katanya ketika dihubungi baru-baru ini.
Mengulas lanjut mengenai KiKaKo Kids, ia merupakan watak yang terdiri daripada Kiki, Kaka dan Koko yang merupakan titisan air tinggal di awan.
Tuturnya, maskot berkenaan diwujudkan bertujuan memberi gambaran perspektif luas seperti dilihat titisan-titisan hujan tersebut yang berada tinggi di langit biru.
Selain itu, Norman menjelaskan karnival berkenaan boleh menjadi platform dalam mempromosikan Wetland Studios Putrajaya yang terletak di dalam Taman Wetland Putrajaya.
Taman berkonsep didik hibur itu bakal disajikan dengan pelbagai informasi dan pengetahuan berkenaan kehidupan bumi.
“Dengan adanya Karnival Pendidikan Sinar Bestari ini, saya berharap dapat terus mendidik generasi muda tentang peranan mereka sebagai warga dunia dalam menjaga alam sekitar.
“Saya juga berharap ia akan memberi kesedaran tentang peranan penting air dalam ekosistem pelbagai kehidupan seperti mamalia, reptilia, amfibia, ikan, burung, pokok dan bunga selaras dengan maksud sebenar maskot KiKaKo Kids,” ujarnya.
Tambah Norman, selain kemunculan maskot tersebut, KiKaKod Kids juga akan mengadakan pertandingan melukis dan mewarna yang melibatkan murid pra sekolah dan sekolah rendah.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!