Rindu air tangan ibu di pagi raya

Shamsul Khomari (kanan) memberi taklimat berhubung pelepasan cuti Hari Raya Aidilfitri kepada Khairul Azhar (kiri) dan Mohd Sahril. Gambar kecil dari kiri: Khairul Azhar, Mohd Sahril
Shamsul Khomari (kanan) memberi taklimat berhubung pelepasan cuti Hari Raya Aidilfitri kepada Khairul Azhar (kiri) dan Mohd Sahril. Gambar kecil dari kiri: Khairul Azhar, Mohd Sahril
A
A
A

JOHOR BAHRU - Tiada apa yang lebih menggembirakan buat sang perantau apabila dapat pulang ke pangkuan keluarga tercinta sempena Hari Raya Aidilfitri nanti.

Bagi Mohd Sahril Sapar, 37, yang bertugas di Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tebrau, beliau teruja mendapat giliran untuk pulang berhari raya di kampung halamannya di Sabah, kali ini selepas empat tahun tidak berkesempatan berbuat demikian.

“Rasa terlalu seronok kerana akhirnya dapat juga pulang beraya di Tawau tahun ini. Tambah pula bila lihat kegembiraan anak-anak dapat pulang ke kampung beraya bersama nenek di sana.

“Insya-ALLAH, saya akan bercuti selama 10 hari di sana (Sabah). Teruja untuk berjumpa kawan-kawan lama dan dapat merasai air tangan mak di pagi raya,” katanya.

Keseronokan Mohd Sahril turut dikongsi oleh seorang lagi rakannya, Khairul Azhar Abdul Aziz yang turut mendapat giliran untuk pulang bercuti sempena Syawal di kampung halamannya di Sungai Petani, Kedah.

Menurut Khairul Azhar atau lebih dikenali sebagai Cik Mad di BBP Tebrau, beliau mahu menziarahi pusara ayah serta ibunya yang meninggal dunia akibat Covid-19.

“Saya dah lima tahun tak balik beraya. Alhamdulillah, tahun ni dapat balik ke Kampung Masjid, Sungai Pasir, Sungai Petani, Kedah.

“Sebelum ni PKP (perintah kawalan pergerakan) tak dapat beraya. Ibu bapa saya juga sudah tiada sebab Covid-19.

“Balik kali ini memang saya nak pergi ziarah pusara ayah dan bonda,” katanya.

Sementara itu, menurut Penolong Penguasa Bomba (PPgB) Shamsul Khomari Bakar, penggiliran cuti bagi anggota dibuat mengikut jadual dan secara bergilir-gilir berdasarkan kepada senioriti.

“Sebelum apa-apa keputusan berhubung cuti dibuat, kami turut mengadakan perbincangan dengan semua anggota.

“Cuti (panjang) ni sebenarnya ikut giliran, tetapi ikut senioriti juga.

“Apa pun, salam Ramadan dan Salam Aidilfitri kepada seluruh rakyat Malaysia. Berhati-hatilah dalam perjalanan pulang ke destinasi yang dituju,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!