Asnaf ceria sambut Aidilfitri di rumah baharu

Peniaga kuih, Shahril Hasan, 56, dan isterinya gembira menerima replika kunci rumah Skim Inapan Kasih yang disampaikan Zakat Pulau Pinang.
Peniaga kuih, Shahril Hasan, 56, dan isterinya gembira menerima replika kunci rumah Skim Inapan Kasih yang disampaikan Zakat Pulau Pinang.
A
A
A

TASEK GELUGOR - Sambutan Aidilfitri tahun ini lebih bermakna buat Shahril Hasan, 56, sekeluarga apabila bakal menyambut hari raya di rumah baharu yang disediakan oleh Zakat Pulau Pinang (ZPP) menerusi bantuan Skim Inapan Kasih.

Shahril yang berniaga kuih bersama isterinya sebelum ini tinggal di rumah pusaka keluarga yang berusia lebih 100 tahun di Kampung Paya Kongsi, Balik Pulau.

Menurut bapa kepada empat orang anak itu, rumah lama mereka sudah usang dan rosak malah bumbung zink sudah beberapa kali diterbangkan angin dalam kejadian ribut beberapa tahun lalu.

"Kalau nak dikenang keadaan rumah lama memang sangat menyedihkan dengan bocor di sana sini, dimakan anai-anai dan banyak kerosakan.

"Jika dahulu kami semua enam beranak hanya tidur di rumah berkenaan tanpa bilik, namun kini saya bersyukur kerana dengan rumah baharu yang diterima ini kami dapat menjalani kehidupan yang lebih selesa," katanya.

Ahmad Zakiyuddin (tiga dari kiri) ketika meninjau rumah yang disediakan untuk asnaf melalui Skim Inapan Kasih di Kampung Jarak Tengah, Tasek Gelugor pada Isnin.
Ahmad Zakiyuddin (tiga dari kiri) ketika meninjau rumah yang disediakan untuk asnaf melalui Skim Inapan Kasih di Kampung Jarak Tengah, Tasek Gelugor pada Isnin.

Dia berkata demikian ketika ditemui media selepas menerima replika kunci sempena majlis pelancaran reka bentuk baharu rumah Skim Inapan Kasih dan penyampaian saguhati Aidilfitri di Kampung Jarak Tengah di sini pada Isnin.

Majlis berkenaan dilancarkan oleh Timbalan Ketua Menteri I, Datuk Ir Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman yang juga Yang Dipertua Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP).

Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif ZPP, Datuk Amran Hazali dan Setiausaha MAINPP, Datuk Samsudin Bakar.

Shahril antara lima keluarga yang terpilih mendapat bantuan rumah menerusi Skim Inapan Kasih pada tahun ini.

Seorang lagi penerima, Alawiyah Man @ Abdul Rahman, 49, yang bekerja sebagai pengawal keselamatan turut menzahirkan rasa syukur dengan pemberian bantuan rumah yang diberikan ZPP.

Ibu tunggal kepada tiga orang anak itu berkata, selama ini mereka sekeluarga tinggal di rumah sewa di kawasan Penanti sejak 21 tahun lalu.

"Sejak suami meninggal dua tahun lalu, kehidupan kami sekeluarga sangat terkesan, namun saya bersyukur apabila permohonan untuk mendapatkan bantuan rumah ini daripada ZPP dipermudahkan.

"Alhamdulillah impian kami sekeluarga untuk tinggal di rumah sendiri akhirnya tercapai dan pastinya hari raya kali ini sangat istimewa buat kami kerana dapat beraya di rumah baharu ini," katanya.

Penerima bantuan rumah bergambar bersama Ahmad Zakiyuddin (lapan dari kanan) selepas majlis pelancaran reka bentuk baharu rumah Skim Inapan Kasih dan penyampaian saguhati Aidilfitri di Kampung Jarak Tengah, Tasek Gelugor pada Isnin.
Penerima bantuan rumah bergambar bersama Ahmad Zakiyuddin (lapan dari kanan) selepas majlis pelancaran reka bentuk baharu rumah Skim Inapan Kasih dan penyampaian saguhati Aidilfitri di Kampung Jarak Tengah, Tasek Gelugor pada Isnin.

Sementara itu, Amran berkata, kos pembinaan rumah Skim Inapan Kasih ZPP rekaan baharu itu menelan kos sebanyak RM67,200 sebuah.

Menurutnya, rumah yang dibina adalah berkeluasan 672 kaki persegi yang merangkumi tiga bilik tidur, satu bilik air dan tandas yang boleh dikatakan sangat kondusif di dalam kategori rumah mampu milik yang disediakan di Pulau Pinang.

Jelasnya, ZPP menjangkakan 28 unit rumah dapat dibina dengan peruntukan tahunan sebanyak RM2.53 juta.

"Selain itu, ZPP telah memperkenalkan pakej agihan yang komprehensif di dalam menyantuni asnaf bagi pemilikan rumah yang kondusif.

"Pakej-pakej agihan ini adalah seperti Skim Baik Pulih dan Penambaikan Rumah, Skim Pembinaan Tandas OKU dan Skim Pendawaian Elektrik Rumah Asnaf (SPERA) yang baru dilancarkan pada awal tahun ini

"Berdasarkan permohonan dan perancangan tahun 2023, projek bagi Skim Agihan Baik Pulih dan Penambaikan Rumah adalah sebanyak 80 buah rumah dan 50 buah rumah bagi Projek SPERA," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!