Selangor ikat Kedah di Darul Aman
SELANGOR berjaya mencuri satu mata di Alor Setar selepas mengikat Kedah 1-1 pada aksi ke-11 Liga Super 2019 di Stadium Darul Aman, sebentar tadi.
Kedah hampir berada di hadapan pada minit ke-15 menerusi Jonathan Bauman, namun percubaannya berjaya ditepis keluar oleh penjaga gol pelawat, Farizal Harun.
Bagaimanapun selang tiga minit kemudian, Selangor berjaya berada di hadapan 1-0 terlebih dahulu hasil jaringan bekas penyerang Kedah, Sandro Da Silva selepa menerima hantaran dari Muhd Azreen Zulkafali.
Gol tersebut berjaya menyemarakkan semangat The Red Giants untuk memburu gol seterusnya dan mereka melakukan asakan bertali arus ke kubu tuan rumah.
Sorakan lebih 11,000 penyokong Kedah berjaya meningkatkan semangat pasukan itu untuk memburu gol penyamaan dan berhasil pada minit ke-40 menerusi tandukan ketua pasukan, Baddrol Baktiar untuk kedudukan 1-1.
Gol penyamaan itu hasil hantaran pertahanan tuan rumah, Azmeer Yusof yang melakukan hantaran hasil serangan pantas yang dilakukan mereka.
Tempo tinggi yang ditunjukkan oleh kedua-dua pasukan diteruskan pada separuh masa kedua apabila masing-masing berbalas serangan.
Pelawat hampir membawa pulang tiga mata penuh ke Shah Alam menerusi Abdul Halim Shaari namun percubaannya sekadar singgah di palang gol Kedah selepas mengelirukan Ifwat Akmal pada minit ke-87.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!